SIMPANG PULAI – Hasratnya mahu membantu tetapi dibalas dengan pukulan pula.

Seorang lelaki menerima 11 jahitan di bawah mata selain patah tangan selepas dipukul dua lelaki dalam kejadian di Jalan Pulai Jaya, Bandar Pulai Jaya di sini, kelmarin.

Dalam kejadian kira-kira jam 9.40 malam itu, Jumaarie Affendi, 28, bersama rakannya melalui kawasan terbabit sebelum terserempak seorang lelaki sedang menolak motosikalnya dipercayai rosak.

“Saya dalam perjalanan ke Simpang Pulai untuk mengambil van yang telah siap dibaiki sebelum ternampak seorang lelaki tolak motosikalnya di kawasan yang gelap dan sunyi. Saya suruh kawan berhenti untuk tolong dia.

“Saya baru nak tanya arah dan kerosakan kenderaannya sebab kalau tiada minyak, kita boleh bantu tolakkan tetapi sebaliknya dia terus tarik baju dan tolak ke tanah. Saya tidak boleh melawan apabila seorang lagi lelaki tiba-tiba muncul memukul dengan kayu,” katanya.

Menurutnya, rakannya yang berada di atas motosikal beredar untuk dapatkan bantuan daripada penduduk berhampiran.

“Mereka berdua terus memukul sambil menumbuk dan menendang saya sesuka hati seperti bola. saya hanya mampu melindungi muka dengan tangan.

“Apabila keadaan saya tidak berdaya, mereka memeriksa poket mencari barang berharga tetapi saya telah tinggalkan dompet dan telefon bimbit dalam raga motosikal,” katanya.

Jumaarie berkata, kedua-dua lelaki yang memakai topi keledar berpenutup penuh melarikan diri sebaik menyedari kehadiran rakannya bersama dua rakan yang lain.

“Kejadian ini menyebabkan saya patah tangan kanan dan bengkak serta lebam di beberapa bahagian badan. Saya menerima rawatan di Hospital Raja Permaisuri Bainun.

“Ketika kejadian tiada kenderaan yang melalui kawasan itu tetapi saya bersyukur apabila tiada kecederaan teruk pada bahagian badan lain,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner Mohd Ali Tamby mengesahkan menerima laporan kejadian itu – sinar