SUNGAI SIPUT – Penyandang kerusi Parlimen Sungai Siput, Dr Jeyakumar yang mewakili parti PSM menyuarakan kekecewaannya terhadap kedegilan PKR bertanding di kerusi tersebut pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14) sekali gus mewujudkan pertembungan empat penjuru.

Beliau berkata, tindakan PKR itu secara tidak langsung telah meningkatkan peluang Barisan Nasional (BN) untuk menang di kerusi berkenaan.

Tambahnya, bukan sahaja beliau kecewa malah rakyat di Sungai Siput juga kecewa kerana mereka mahu pemimpin pembangkang terus menjadi wakil rakyat mereka.

“Saya rasa selain berkemungkinan kalah, perkara paling besar adalah kita mengecewakan rakyat. Jika satu lawan satu tetapi kalah, itu tidak mengapa lagi.

“Tetapi bila kita ada peluang nak menang tetapi ada tiga atau empat penjuru yang akan menang BN, ini akan kecewakan rakyat.

“Persoalan adakah saya rasa dikhianati? Itu perkataan yang berat namun Pakatan Harapan perlu melihat semula adakah cara mereka melayan PSM itu betul atau tidak,” katanya ketika ditemui di sini pada Ahad.

Ujar Ahli Majlis Tertinggi PSM itu lagi, tindakan tersebut hanya merugikan kedua-dua pihak dan hanya menguntungkan BN.

“Hasrat mereka (Pakatan Harapan) untuk tawan Putrajaya juga dilihat sukar kalau kalah kerusi ini. Apa yang berlaku di sini adalah satu kesilapan besar,” ujarnya.

BERITA BERKENAANCalon BN Kampar Janji Laksana Projek Hospital Kampar