IPOH: Majlis Nikah Jama’ie Syarie dianjurkan Jabatan Agama Islam Perak (JAIPk) menonjolkan amalan kesederhanaan di dalam majlis pernikahan seperti yang dituntut oleh Islam.

Pegarah JAIPk, Datuk Mohd Yusop Husin berkata, konsep yang digunakan itu sekaligus memberi penjimatan yang besar kepada peserta menghindari zina.

“Di dalam Islam, nikah sebenarnya merupakan sesuatu yang mudah dan indah, cukup sekadar mengikut syarak yang ditetapkan, oleh itu kita mahu mendidik orang ramai melalui majlis ini.

“Ianya bukan sekadar menjimatkan kos tetapi juga menjimatkan masa. Dengan RM1,200, kita turut mengadakan jamuan untuk tetamu dan juga pasangan pengantin juga dapat bermalam di hotel.

“Dari satu sudut, ianya boleh membantu mereka kerana untuk mengadakan satu-satu majlis, mungkin ianya memakan belanja melebihi RM10,000 tetapi dengan adanya program sebegini, ianya dapat menjimatkan masa dan juga kos,” katanya ketika ditemui ketika menghadiri Majlis Nikah Jama’ie Syar’ie di Ipoh pada Sabtu.

Seramai 30 pasangan dinikahkan serentak dalam Majlis Nikah Jama’ie Syar’ie di Masjid Sultan Idris Shah II ipoh.

Majlis yang bermula seawal jam 8 pagi itu melibatkan beberapa sesi yang bermula dengan taklimat kepada peserta, khutbah nikah, upacara akad nikah, solat sunat nikah, penyerahan mas kahwin, penyerahan tanggungjawab, sesi fotografi dan majlis makan beradab.

Turut hadir di majlis tersebut ialah ADUN Manjoi, Mohamad Ziad Zainal Abidin dan Timbalan Mufti Perak, Zamri Hashim.

Ianya merupakan program siri ke-3 yang dianjurkan oleh JAIPk sejak 2013.