Oleh: Nazialita Geynna Maharan

BAGAN DATUK: Lembaga Koko Malaysia (LKM) meletakkan sasaran lebih tinggi bagi nilai eksport koko iaitu RM5.8 bilion bagi tahun ini, kata Timbalan Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Datuk Datu Nasrun Datu Mansur.

Beliau berkata, sasaran itu adalah selaras dengan inisiatif dan pendekatan LKM yang selama ini berusaha untuk menggandakan hasil pengeluaran koko dalam negara.

Katanya, pada tahun 2015, LKM berjaya memperoleh nilai eksport sebanyak RM5.02 bilion dan ia meningkat secara positif pada tahun berikutnya kepada RM5.7 bilion.

“Peningkatan sebanyak 14 peratus ini menunjukkan prestasi industri koko yang kekal positif walaupun berhadapan pelbagai cabaran terutamanya penurunan keluasan kawasan tanaman dan pengeluaran biji koko.

“Walaupun demikian, ia masih mampu menjadi penyumbang keempat tertinggi kepada nilai eksport komoditi dalam negara ini,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas merasmikan Bengkel Pemantapan C-Team 2.0 dan Lafaz serta Menandatangani Ikrar Bebas Rasuah (IBR) LKM di Pusat Penyelidikan dan Pembangunan Koko di sini pada petang Rabu.

Menurut Datu Nasrun, antara penyumbang utama kepada keuntungan dan nilai eksport komoditi itu adalah daripada produk-produk hiliran seperti lemak dan serbuk koko.

“Produk-produk hiliran ini menyumbang 58.9 peratus hasil eksport koko dengan nilai RM3.4 bilion dan ia sebenarnya merupakan satu angka yang besar jika dikira daripada jumlah keseluruhan,” ujarnya.

Beliau berasa bangga dengan kedudukan Malaysia yang kini merupakan negara pengisar koko kelapan terbesar dunia walaupun industri pengisaran tempatan masih bergantung kepada bekalan biji koko yang diimport dari luar negara.

Sehubungan itu, usaha berterusan untuk menambah keluasan tanaman dan hasil pengeluaran koko perlu dilaksanakan dengan berkesan bagi mengurangkan kebergantungan terhadap bekalan biji koko yang dimport, katanya.