IPOH – Pengundi seluruh negara dinasihati melihat prestasi semua calon termasuk mereka yang mampertahankan kerusi masing-masing sebelum membuat keputusan pada 9 Mei ini.

Bekas wakil rakyat DAP, Tan Sri Lee Lam Thye berkata, pengundi perlu mengundi calon yang efektif, ikhlas, jujur, berdedikasi dan komited untuk berkhidmat kepada pengundi.

Katanya, pengundi perlu berfikir dengan serius dan membuat keputusan yang bijak dan kritikal demi kepentingan negara dan masa depannya.

“Seorang wakil yang dipilih mesti memainkan dua peranan iaitu sebagai seorang penggubal undang-undang serta yang berkhidmat kepada rakyat.

“Beliau mestilah menangani isu-isu negara di Parlimen selain bersedia untuk berkhidmat kepada pengundi. Anggota parlimen dan dewan undangan negeri mesti memberikan komitmen kepada kawasan mereka dan sentiasa berada di kawasan apabila diperlukan.

“Keputuasan yang dibuat bukan sahaja akan memberi kesan kepada kita untuk tempoh lima tahun akan datang tetapi juga bakal menentukan nasib negara dan generasi akan datang,” katanya melalui kenyataan media mengenai Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14) yang dikeluarkan hari ini.

Lee yang juga merupakan Pengerusi Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (MIROS), turut berharap pengundi akan memilih calon yang mempunyai integriti bagi memastikan genjala rasuah dan penyahgunaan kuasa dapat dibasmi.

“Saya berharap kempen hangat sepanjang PRU14 tidak akan membawa kepada perselisihan, kebencian bekekalan dan kesan buruk terhadap rakyat.

“Jalan yang perlu diharungi negara masih panjang dan tidak kira parti politik mana yang akan membentuk kerajaan, kita harus terus bersatu kerana kita sebenarnya berkongsi satu harapan, mimpi dan matlamat di negara yang kita diami bersama,” ujar beliau.

Lee pernah menjadi wakil rakyat seawal usia 24 tahun pada 1969 dan berjaya mempertahankan kerusinya selama enam penggal berturut-turut tanpa kalah.

BERITA BERKENAANGuan Eng Nafi Amran Pegawai Khasnya