BANTUAN Rakyat 1Malaysia (BR1M) harus dinilai secara adil dan objektif kerana inisiatif itu hasil cetusan idea Bank Negara Malaysia (BNM) yang kemudiannya dilaksanakan kerajaan Barisan Nasional (BN) pada tahun 2012 bertujuan membantu penerima yang memerlukan.

Naib Presiden UMNO merangkap Pengerusi Majlis Dasar Awam UMNO, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, inisiatif itu bukan sahaja dilakukan secara berkala, malah kelompok penerimanya adalah jelas dan bersasar.

Beliau kesal dengan kenyataan kerajaan baharu berhubung niat membatalkan BR1M dengan alasan bahawa pemberian bantuan sedemikian akan menjadikan masyarakat kita manja dan terbiasa dengan bantuan.

“Inisiatif (BR1M) memberi fokus bagi mengurangkan impak pelan rasionalisasi subsidi kepada golongan B40 dan menjadi satu pendekatan yang relevan kepada sistem kebajikan dan perlindungan sosial negara dalam konteks meningkatkan kuasa beli dan keupayaan melakukan perbelanjaan yang diperlukan oleh isi rumah.

“Ini termasuklah berhadapan dengan kos pembelian barang dapur, membayar bil bulanan dan perbelanjaan harian yang lain,” katanya dalam satu kenyataan, di Johor Bahru, hari ini.

Mohamed Khaled berkata, pakar termasuk ahli akademik dan pakar industri juga mengatakan bahawa kuasa membeli golongan berpendapatan rendah meningkat dengan perlaksanaan BR1M terutamanya mereka yang tidak dapat menanggung beban kenaikan kos sara diri.

Katanya, dalam Malaysian Economic Monitor 2014, iaitu laporan yang dikeluarkan oleh Bank Dunia juga dinyatakan manfaat dan matlamat BR1M sampai sehingga 90 peratus golongan sasar dan berjaya mengurangkan tahap kemiskinan golongan terbabit.

Beliau berkata, Laporan Ekonomi 2016/2017 yang dikeluarkan Kementerian Kewangan mendapati bilangan isi rumah yang berpendapatan RM3,000 ke bawah turun kepada 24.3 peratus daripada 52.7 peratus pada tahun 2009.

“Malah, BR1M memainkan peranan dalam mengurangkan ketidaksamarataan ekonomi. Pekali Gini (yang mengukur kesaksamaan pendapatan) berkurang daripada 0.441 pada tahun 2009 kepada 0.401 pada tahun 2014, dan semakin rendah pada 2016 iaitu pada 0.399.

“Segala kejayaan dan kebaikan inisiatif BR1M dapat dibuktikan dengan lebih jelas jika kita melihat kepada manifesto Pakatan Harapan sendiri yang berjanji untuk meneruskannya.

“Malangnya, pendirian Pakatan Harapan dalam isu BR1M ini tidak pernah konsisten dan sentiasa berubah-ubah. Pada 17 Mei, Perdana Menteri mengumumkan BR1M akan diteruskan dengan penambahbaikan, iaitu hanya yang layak sahaja boleh menerimanya. pada 26 Ogos, beliau menyatakan pula hasrat untuk menghentikan BR1M secara berperingkat.

“Kemudian, beliau memutuskan yang kerajaan tidak akan terus memberhentikan BR1M sebelum kajian komprehensif

dilakukan terlebih dahulu,” katanya.

Mohamed Khaled Nordin berkata, sikap tidak peduli pada keluhan kumpulan B40 seperti ini sudah pastilah merisaukan. Lebih baik sekiranya kita memfokuskan kepada usaha penambahbaikan inisiatif ini seperti memastikan senarai penerima disemak secara berkala bagi memastikan para penerima adalah mereka yang benar-benar layak

Katanya, BR1M juga boleh dipadankan dengan mana-mana program atau inisiatif intervensi lain seperti pembinaan kapasiti yang boleh membantu penerima untuk keluar daripada kemiskinan dengan lebih cepat dan berkesan.

Selain itu beliau berkata, kerajaan juga boleh membuat penambahbaikan dengan menilai semula jumlah yang diperuntukkan dan bukan sahaja mengikut pendapatan tetapi juga lokaliti atau tempat tinggal serta jumlah isi rumah.

“Saya berpendirian, memperkasa BR1M adalah lebih baik dari menghapuskannya. Bukankah antara perkara yang paling lantang diperjuangkan oleh Pakatan Harapan sebelum ini adalah kos sara hidup?.

“Jadi, adakah dengan penghapusan BR1M, mereka kini sudah boleh menjamin bahawa golongan B40 sudah tidak terkesan dengan kos sara hidup? Atau adakah mereka mengambil pendirian bahawa BR1M tidak mempunyai kebaikan, sedangkan mereka sendiri bersetuju untuk meneruskannya sebelum ini kerana kelebihan yang ditawarkan oleh BR1M.

“Saya harap perkara ini akan dipertimbangkan semula oleh kerajaan, demi kebaikan mereka yang memerlukan,” katanya – hmetro