Oleh: Aida Aziz

IPOH: Percutian Jalaluddin Mohd Shafie, 62, ke negara-negara Eropah sebelum ini pastinya tidak akan pulang dengan tangan kosong, setidaknya seutas jam tangan berjenama mewah menjadi pilihan.

Hobi mengumpul barangan antik kini menjadi sumber rezeki buatnya apabila kesemua jam tangan yang dikumpul sejak sekian lama itu dijual kepada mereka yang tertarik dengan kehalusan rekaan jam itu.

Menurut Jalaluddin atau dikenali dengan nama Pak Din, purata harga jam tangan yang dijual adalah serendah RM 300 hingga RM 3,000 bergantung kepada jenama.

Katanya, kebanyakan jam yang ada beliau beli ketika berkunjung ke luar negara seperti di Switzerland.

“Sebagai seorang pengumpul barang-barang seperti jam dan barangan antic, saya jamin, semua jam yang saya jual ini memang asli, mungkin ada yang ragu-ragu dengan keasliannya, selalunya jam tangan versi baharu yang banyak tiruan tapi jarang sekali yang antik.

“Setelah sekian lama kumpul jam, saya rasa sudah tiba masanya untuk dagangkan kembali jam tangan ini kepada pembeli yang berminat, alhamdulillah ia mendapat permintaan yang menggalakkan,” katanya ketika ditemui Suara Perak.

Pak Din yang mengusahakan perniagaan antik di Simpang Pulai memberitahu, dia tidak lagi bergantung kepada urusan jual beli konvensional dan sudah menggunakan media sosial untuk berhubung dengan pelanggan.

“Walaupun pakcik berniaga barang-barang antik tetapi tetap ikut trend semasa, kena belajar jual pakai online macam, Facebook, Carousell dan Instagram, orang ramai boleh lihat dan pilih sendiri jam yang mereka suka, kemudian boleh buat tempahan di situ juga.

“Selain di Simpang Pulai saya juga pergi ke beberapa tempat seperti kedai makan dan letak barangan di satu sudut untuk pengunjung lihat, sambil makan mereka boleh datang dan beli,” ujar Pak Din.

Suara Perak berkesempatan menemubual salah seorang pelanggan setia Pak Din yang dikenali sebagai Chai, dari Malim Nawar yang sememangnya berminat dengan jam tangan antik.

“Sudah beberapa kali saya beli dari Pak Din, kalau nak cakap tahan lam bergantung juga pada ketahanan disebabkan jam ini pun kena servis bateri dan sebagainya, setakat ini saya berpuas hati dengan kualiti jam di sini.

“Saya beli jam disebabkan rekaan dan bila pakai di tangan nampak eksklusif, tidak ramai yang memiliki jam tangan sebegini kerana rata-rata jam Pak Din dari luar negara jadi harganya sedikit mahal berbanding tempatan,” ujarnya.