PUTRAJAYA: Tun Dr Mahathir Mohamad mendedahkan nisbah hutang berbanding Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) negara ketika ini adalah 65 peratus dan bukannya 51 peratus seperti angka rasmi yang dinyatakan kerajaan sebelumnya.

Perdana Menteri berkata, kadar nisbah hutang berbanding KDNK kini adalah melebihi had statutori 55 peratus yang ditetapkan.

“Saya fikir kadarnya ialah 65 peratus,” katanya pada sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat kabinet pertama di Perdana Putra di sini, sebentar tadi.

Yang turut hadir Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Wan Azizah Wan Ismail dan semua menteri kabinet.

Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak sebelum ini pernah berkata nisbah hutang negara berbanding KDNK tahun lalu ialah sebanyak 51 peratus, kadar yang masih rendah berbanding had ditetapkan kerajaan iaitu 55 peratus.

Dalam pada itu, mengenai sama ada kerajaan akan mengambilalih semula pengeluar kereta nasional, Proton Holdings Bhd (PROTON), Dr Mahathir berkata, pihaknya tidak akan berbuat demikian.

“PROTON bukan milik kerajaan, tetapi milik (Tan Sri) Syed Mokhtar. Sama ada beliau mahu beli balik atau tidak, terpulang kepada beliau.

“Kerajaan tidak berhajat untuk membeli semula PROTON,” katanya.

Pada September 2017, DRB-HICOM Bhd, syarikat induk PROTON, menyelesaikan cadangan jualan saham 49.9 peratus atau 547.02 juta saham dalam PROTON kepada Zhejiang Geely Holding Group Co Ltd (Geely) untuk RM460.3 juta..

Mengenai bila kerajaan akan mengumumkan keputusan sama ada mahu meneruskan atau membatalkan projek mega yang dibuat kerajaan dahulu, Dr Mahathir berkata ia akan diumumkan tidak lama lagi – berita harian