IPOH – Datuk Seri Nizar Jamaluddin dengan bangga mengakui ketika menjadi Menteri Besar Perak selama 11 bulan pada 2008, telah bertanggungjawab meluluskan tanah hak milik kekal kepada 40,000 keluarga di Kampung Baru seluruh negeri Perak.

Seperti yang dipetik daripada satu video yang sedang viral ketika ini, calon kerusi DUN Sungai Rapat mewakili PKR itu berkata, tawaran tanah hak milik kekal itu dibuat melibatkan 114 Kampung Baru itu.

Dengan kelulusan itu, setiap keluarga mendapat hak pajakan tanah bagi tempoh 999 tahun.

“Di Perak ada 114 kampung baharu, kampung baharu ini penduduknya adalah Cina, semasa saya di pejabat Menteri Besar saya menawarkan mereka tanah hak milik kekal kepada kampung baharu.

“Hak milik kekal kepada penghuni-penghuni kampung baharu melibatkan 40,000 keluarga. Ini polisi kita,” katanya dalam video itu ketika berceramah di Taman Botani, di sini Rabu lalu.

Dalam video yang sama, Nizar juga memberitahu telah memberikan 1,000 hektar tanah kepada sembilan Sekolah Menengah Jenis Kebangsaan Cina di sekitar Perak.

“Ada sembilan sekolah rendah Cina..Kita sudah kasi 1,000 hektar tanah itu jam (masa pembangkang memegang kerajaan negeri),” katanya.

Video yang dimuatnaik oleh Gerak Perak di laman sosial Facebook itu setakat ini telah dilihat lebih 48,000 kali dan 300 kongsian.

Ia juga telah menerima pelbagai reaksi oleh netizen yang melihat video yang dimuat naik 22 jam lalu.

Seorang pengguna Facebook dengan nama Razi Nuh berkata, dia tidak menyangka Nizar sanggup berbuat demikian demi kuasa.

“Aku hanya boleh geleng-geleng kepala, tak sangka sampai macam ini nak meraih undi demi kuasa.

“Sedarlah wahai Nizar..politik pun politik juga, jangan semua nak digadai demi kertas undi yang tidak seberapa,” ujarnya.

Seorang lagi pengguna, Muklis Mohsin pula mendakwa tindakan terbabit merupakan antara faktor rakyat Perak menolak kerajaan negeri ketika itu.

“Hanya orang Perak sahaja tahu kenapa Nizar dan kerajaan masa itu kita singkir. Memang elok PAS singkirkan dia.

“Jangan tanya orang Perak tak pernah bagi peluang orang lain perintah, sebab inilah (Nizar) salah satunya,” katanya.

BERITA BERKENAANNilai Prestasi Calon Sebelum Buang Undi 9 Mei