IPOH: Calon DUN Sungai Rapat, Datuk Seri Nizar Jamaluddin menyatakan kekecewaannya apabila beliau tidak dibenarkan masuk ke dalam pusat pengundian SK Pengkalan, di sini dan mendakwa telah dihalang oleh Ketua Tempat Mengundi (KTM) saluran berkenaan.

Nizar, yang sebelum ini penyandang kerusi DUN Changkat Jering hasil kemenangan pada PRU13 berkata, beliau telah melawat beberapa pusat pengundian di sekitar DUN yang ditandinginya namun tiada satu pun yang menegahnya sebagai seorang calon untuk masuk melawat.

“Apabila tiba di SK Pengkalan tadi, salah seorang Ketua Tempat Mengundi (KTM) hendak menunjukkan kuasanya, dia tidak membenarkan saya masuk jadi saya terus bertanya peruntukan mana yang menyatakan calon tak boleh masuk?

“Dia tak boleh bagi (jawab), maka saya terus menelefon RO (Pegawai Pengurus), di mana saya diberitahu bahawa calon boleh masuk, mereka (SPR) tidak ada kuasa nak menghalang saya.


“Saya berikan telefon itu kepada KTM itu, dia enggan bercakap, dia kata nak tunggu RO telefon dia, sampailah ke sudah. Kami cuma nak masuk, kami nak tahu ejen-ejen parti kami, wakil-wakil parti kami itu sahaja tetapi dia (KTM) tak benarkan masuk,”katanya ketika ditemui Astro Awani di SK Pengkalan, di sini pada petang Rabu.

Nizar juga mendakwa, terdapat beberapa tindakan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) yang tidak mengambil peduli mengenai keadaan kesihatan dan kebajikan pelbagai warga memerlukan di pusat pengundian itu.

Menurut Nizar, ramai di antara warga emas yang terpaksa menunggu lebih daripada tiga jam untuk mengundi dan sebahagian daripadanya telah balik kerana terlalu letih, memakan ubat serta makan tengahari jadi mereka dikhuatiri gagal mengundi.

“Kita lihat penderitaan yang dialamai, semua taka da kemudahan kerusi, duduk lepak atas lantai, dan mereka (SPR) tergamak biarkan warga emas ini. Tidak ada usaha nak selesaikan masalah ini, bagi kerusi…semua ikut lenggok perlahan sahaja, adakah perkara ini kita nak benarkan,”ujarnya lagi.

Nizar berkata, beliau menyedari terdapat pertambahan pengundi pada PRU kali ini namun ianya sepatutnya diselenggara oleh SPR terlebih dahulu.

BERITA BERKENAANDiva AA Sergah Pegawai SPR