IPOH – Amanah Perak menyambut baik keputusan yang dibuat Ketua Penerangan PKR Perak, Siti Aishah Shaikh Ismail menarik diri dalam pencalonan Speaker Dun Perak atas semangat untuk rakyat Perak.

Timbalan pengerusinya, Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin berkata, Siti Aishah perlu meneruskan perjuangan dalam politik kerana beliau mempunyai potensi.

Katanya, kerajaan negeri masih memerlukan sumbangan beliau dalam pentadbiran.

“Saya mohon maaf jika ada perkara yang tidak elok dan tidak sihat.

“Teruskan perjuangan dan pastikan Pakatan Harapan dapat melaksanakan pelbagai usaha membangunkan negeri Perak,” katanya pada sidang media selepas menyampaikan ucapan di Seminar Inisiatif Hijau Chiyoda System Technologies Corporation di Hotel Casuarina@Meru, Bandar Meru Raya, di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai isu calon Speaker Dun Perak yang mencetuskan kontroversi.

Terdahulu dalam satu kenyataan di facebook yang tular, Siti Aishah mengaitkan nama Mohammad Nizar dalam isu calon Speaker Dun Perak.

Bagaimanapun dalam kenyataan media yang dikeluarkan semalam memberitahu bahawa status facebook itu merupakan teguran kepada pimimpinan.

Semalam, Sidang Dun Perak kecoh ketika pelantikan Speaker Dun Perak selepas pembangkang mendesak nama calon yang menarik diri didedahkan – sinar