IPOH – Sebanyak 117 saman dikeluarkan terhadap 30 penunggang motosikal yang ditahan dalam Op Samseng Jalanan di sekitar bandar raya di sini, awal pagi ini.

Operasi bermula kira-kira jam 10 malam itu melihatkan keterujaan remaja menyambut Tahun Baru dengan menggunakan nombor pendaftaran motosikal yang kreatif yang tidak mengikut spesifikasi.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Perak, Superintendan Wan Jamil Wan Chik berkata, salah seorang remaja berusia 17 tahun ditahan kerana menunggang motosikal jenis motosikal Yamaha 135 LC dengan nombor pendaftaran ‘Happy New Year 2K18’.

“Kita turut menahan seorang remaja berusia 16 tahun yang didapati menunggang motosikal dengan dua nombor pendaftaran berbeza pada sebuah motosikal jenis Honda C70. Pemeriksaan lanjut juga mendapati nombor chasis tidak selari dengan kenderaan yang digunakan.

“Dua remaja berkenaan antara 30 yang ditahan dalam operasi ini. 23 motosikal telah disita untuk pemeriksaan lanjut. Operasi tamat kira-kira jam 5 pagi tadi,” katanya.

Menurutnya, kesemua penunggang berusia 16 hingga 22 tahun itu turut menjalani ujian urin dan empat daripadanya positif dadah jenis ganja.

“Dua buah motosikal ditahan untuk didakwa seksyen 42 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana pandu secara melulu dan tiga motosikal ditahan di bawah Seksyen 108 akta sama yang merujuk kepada pengubahsuaian kenderaan.

“Kurangnya pengawasan daripada ibu bapa menjadi punca penglibatan remaja dalam aktiviti samseng jalanan. Ia terbukti apabila ramai remaja yang ditahan dalam operasi yang dilaksanakan oleh Bahagian Trafik ini,” katanya.