KUALA LUMPUR : Penyanyi, penggubah lagu dan usahawan,Datuk Norman Abdul Halim, menafikan penyertaannya menjadi ahli Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) bertujuan memudahkan laluannya untuk mendapat projek seliaan kerajaan.

Norman yang juga merupakan Ketua Pegawai Eksekutif KRU Entertainment berkata, dakwaan segelintir pihak bahawa memorandum persefahaman (MoU) yang dimeterai Kumpulan Syarikat KRU bersama Universiti Teknologi Mara (UiTM), baru-baru ini ada kaitan dengan penyertaannya dalam Bersatu sebagai tidak berasas.

Katanya, sejak bertahun-tahun lalu, KRU Entertainment menjalinkan kerjasama dengan UiTM untuk program latihan industri (internship).

“Saya tidak mendapat sebarang projek besar seperti didakwa sesetengah pihak. Sebaliknya perlu mencari dana besar bagi membolehkan program Yayasan KRU membantu anak muda dapat dijayakan.

“Kolaborasi berkenaan bukan bertujuan mengaut keuntungan peribadi sebaliknya lebih kepada memberi peluang pekerjaan pada graduan dari jurusan industri kreatif.

“Tak ada kepentingan peribadi. Kami juga tak ada pun nak buat kandungan televisyen dengan pelajar. Tapi dalam politik, payah nak bersangka baik, orang lebih berminat buat spekulasi dan terlebih fikir konspirasi,” katanya seperti dipetik dalam portal Malaysiakini hari ini.

Norman menyerahkan borang keahlian seumur hidup untuk menjadi anggota Bersatu pada 9 Julai lalu.

Sebagai rekod, Norman yang sebelum ini pernah bersama Umno mengaku sudah tidak aktif sebagai anggota parti itu sejak 2015.