MAJLIS perkahwinan kini tidak lagi bergantung kepada konsep sedia ada, malah ramai bakal pengantin mengimpikan tema luar biasa seperti mana yang dilakukan oleh dua pasangan pengantin di Kampung Stor, Padang Rengas.

 

Segala persiapan baik dari pakaian, tempat makan dan persandingan bercirikan tema tahun 60-an, tetamu yang hadir makan bersila atau bersimpuh di balai (tempat makan) beralaskan seprah memandangkan tiada kerusi dan meja disediakan.

IMG_9754 

Menurut Ketua Kampung Stor, Shahini Abu Bakar, tempoh dua minggu diperlukan untuk mempersiapkan kesemua tempat khas yang bersesuaian dengan kehendak tema 60-an itu.

 

“Kebetulan pengantin yang diraikan itu anak buah saya, setelah berbincang bersama keluarga dan sanak-saudara kami sepakat untuk langsungkan tema sebegitu untuk rapatkan hubungan kekeluargaan dan masyarakat kampung.

 

“Mungkin nampak majlis ini ringkas sahaja, tetapi sebenarnya lebih renyah dibandingkan dengan majlis biasa. Semuanya kami jalankan secara gotong-royong dengan bantuan penduduk kampung,”ujar Shahini.

 

Persiapan Lepor, Balai dan Tempat Persandingan

 

Ujar Shahini, penggunaan batang pokok pinang dan buluh penting untuk membina lepor (ruang khas yang diperbuat dari buluh untuk kerja kenduri) selain balai serta tempat bersanding.

 

“Lebih 30 batang pokok pinang dan 100 batang buluh dikumpul bagi tujuan itu, makanan pula kami masak sendiri tanpa khidmat katering. Antara menu makanan termasuk nasi putih, rendang nangka, gulai pisang dan air sirap guna ais blok seperti zaman dulu-dulu,”katanya.

 

KEMBALIKAN NOSTALGIA PAK MAUN

Turut mencuri perhatian di sepanjang majlis berlangsung tentu saja pakaian yang dipakai oleh pengantin dan penduduk kampung, baik lelaki dan wanita.

 

Lelaki lengkap berpakaian kemeja bercorak kotak dengan songkok, tidak ubah seperti watak Pak Maun dalam filem Nasib Do Re Mi manakala wanita berbaju kedah dan kain batik dengan kain dijadikan tudung kepala.

 IMG_9757

“Kami cipta suasana sepertimana tahun 60-an beberapa hari sebelum majlis kami hebahkan kepada penduduk kampung sebolehnya berpakaian ikut tema, selain itu pinggan mangkuk jenis lama termasuk lagu yang dipasang sepanjang majlis kebanyakannya lagu R. Azmi iaitu Kancing Suasa.

 

“Kebanyakan tetamu gembira dengan apa yang kami tampilkan, malah ada juga orang yang berhenti nak lihat sendiri majlis apa yang berlangsung di sini,”katanya.

 

Asal Nama Kampung Stor

 

Jelas Shahini lagi ada cerita di sebalik nama Stor, di mana ada dua kisah berbeza yang disampaikan dari mulut ke mulut.

 

“Kisah pertama kononnya nama Stor asalnya dari orang Kedah yang datang ke sini membawa buah Star atau Remia, maklumlah orang di belah sini tak pandai sebut dan loghat pun berbeza, lama kelamaan ia disebut Stor,” ujarnya.

 

Kisah kedua pula menceritakan kampung itu yang dijadikan gudang ketika zaman pendudukan Jepun di mana kesemua hasil yang diperoleh disimpan di stor tersebut.