IPOH – Pengeluar produk keluli NS BlueScope Malaysia Sdn Bhd bekerjasama dengan Thung Hing Metal Industry Sdn Bhd melancarkan outlet kedai runcit dan bilik pameran pengedar sah BlueScope (BSAD) kedua, hari ini.

Presiden bagi Malaysia, Singapura dan Brunei, Pongsak Padungkarn berkata, pelancaran BSAD itu menjadi sebahagian daripada pelan pengembangan syarikat yang menyasarkan penubuhan 25 outlet BSAD di seluruh negara pada akhir 2019.

Menurutnya, kerjasama itu akan memudahkan pengguna memahami keperluan bumbung logam daripada pakar terlatih.

“Kami akan terus menyediakan bumbung logam dan dinding terbaik di negara ini dengan menggunakan teknologi canggih dari Australia.

“Konsep outlet BSAD ini akan memberikan pengguna akses kepada teknologi dan pelbagai produk berjenama yang akan meningkatkan kualiti kehidupan dan nilai harta,” katanya ketika berucap pada pelancaran outlet BSAD di Menglembu di sini.

Hadir sama, Pengerusi Kumpulan Thung Hing, Lee Thung Hing dan Naib Presiden (Runcit), NS BlueScope Malaysia, Brian Chong.

Pongsak berkata, BSAD menjangkakan peningkatan pengeluaran sebanyak 40 hingga 50 peratus dalam tempoh 18 bulan akan datang.

Sementara itu, Pengarah Urusan Thung Hing Metal Industry, Lee Kok Siong berkata, dari perspektif perniagaan, pihaknya dapat memanfaatkan pertambahan permintaan seluruh negeri dari pihak kontraktor perumahan mahupun membaik pulih bangunan sedia ada – sinar