IPOH: Sebagai tanda prihatin terhadap mangsa gempa bumi dan tsunami di Sulawesi Tengah, Indonesia, Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP) melancarkan tabung bantuan untuk membantu mangsa.

Gimik pelancaran disempurnakan Menteri Besar Perak, Ahmad Faizal Azumu sempena penutup Sambutan Hari Guru Sedunia 2018 di sini, malam tadi.

Sebagai permulaan, NUTP menyumbangkan RM10,000 untuk tabung itu yang akan dikutip di kalangan ahli-ahli mereka di seluruh negara.

Setiausaha Agung NUTP, Harry Tan Huat Hock berkata, sumbangan itu akan diserahkan kepada Persatuan Guru-Guru Republik Indonesia (PGRI) untuk disalurkan kepada guru-guru dan pelajar yang terlibat di dalam bencana alam itu.

Di majlis itu, NUTP turut menyampaikan sumbangan, masing-masing RM1,000 kepada keluarga enam anggota bomba dan penyelamat yang terkorban ketika cuba menyelamatkan mangsa lemas di Puchong Perdana, Selangor pada malam Rabu.

Ahmad Faizal yang menerima sumbangan itu kemudiannya menyerahkan kepada Setiausaha Agung Kesatuan Pekerja Bomba dan Penyelamat Semenanjng Malaysia, Mohd Sayuthi Harun untuk diserahkan kepada keluarga anggota berkenaan.

Menteri Besar ketika mengulas mengenai perkara itu mengucapkan syabas kerana keprihatinan NUTP untuk membantu golongan yang memerlukan.

“Sebagai negara berjiran, pastinya kita turut berkongsi kesedihan susulan bencana gempa bumi dan tsunami yang meragut lebih seribu nyawa itu.

“Pastinya ramai di kalangan mangsa adalah kanak-kanak sekolah dan juga para guru,” ujarnya.