WARISAN dan keindahan Jambatan Victoria yang terletak di pekan Karai nyaris lenyap dari pandangan mata, jika tiada usaha untuk mempertahankan ia dari dirobohkan sekitar tiga tahun lalu.

Perjuangan itu jelas membuahkan hasil apabila sehingga kini, jambatan bersejarah itu menjadi antara tarikan utama pelancong, khususnya dari luar negara yang datang ke Kuala Kangsar. Sememangnya kejayaan ini tidak datang bergolek melainkan kerja keras yang dipelopori Pengurus Besar dan Pengasas Pelancongan Jambatan Victoria, Siti Norlizawati Narawi, bersama beberapa rakannya.

Kembangkan Potensi Jambatan Victoria

Fokusnya kini terarah untuk mengembangkan potensi Jambatan Victoria yang mula dibina pada tahun 1897 dan siap sepenuhnya sekitar tahun 1900 itu. “Sekarang ini orang ramai gemarkan warisan dan sejarah, baru-baru ini juga kita menerima kunjungan dari 61 orang dari kem tentera iaitu anak-anak tentera, yang memberi penekanan kepada pendidikan sejarah.

 

“Bila Jambatan Victoria maju dan terkenal, makin ramai orang boleh buat inap desa dan galakkan percutian bersama keluarga. Pelancong paling ramai dari China dan Taiwan. “Rombongan dengan bas pun ada, mencecah tiga hingga lima buah bas, banyak agensi pelancongan yang membantu mempromosikan tempat ini. “Namun malangnya, mereka hanya datang dan balik… tiada susulan, agak rugi kerana kita boleh perkenalkan kebudayaan kita seperti industri kraftangan di sini,” katanya kepada Suara Perak.

Karai Bukan Pekan Mati

Status Karai yang dilihat seperti pekan terbiar sedikit sebanyak menerima tempias dari keunikan yang terdapat di Jambatan Victoria, malah sudah ada perancangan untuk memulihara bangunan di sekitarnya. “Saya mohon kerajaan negeri memandang serius untuk pembangunan pekan Karai menjadi pekan warisan, tingkap-tingkap dirumah kedai pun dibaikpulih dan dikembalikan seperti zaman dahulu.

“Di sini ada bangunan rumai kedai yang diberi oleh pemiliknya secara percuma untuk dijadikan galeri Victoria, dari itu kita usahakan sendiri pembangunannya,” katanya. Dalam pada itu, kewujudan Victoria Eco Adventure (VAP) menjadi pemangkin kepada penambahan aktiviti berasaskan pelancongan, tidak tertumpu kepada Jambatan Victoria semata-semata.

“VAP merupakan susulan dari kedatangan pelancong ke Jambatan Victoria, pada tahun 2015, tuan kepada tanah yang berkeluasan 50 ekar datang berjumpa dengan saya dan minta saya rancang sesuatu untuk bangunkan tempat ini. “Kita perkenalkan pakej training tourism di VAP untuk team building selain lawatan ke lokasi menarik dan merasai keunikan makanan dalam daerah Kuala Kangsar.

“Ada perancangan untuk wujudkan ‘street night’ bagi membolehkan pelancong ada tempat untuk dituju bermula jam 6 petang hingga 12 malam, selain mahu mewujudkan pasar terapung menggunakan kayu,” ujarnya.

Penambahbaikan laluan keretapi

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan negeri, YB Tan Kar Hing berkata kerajaan negeri akan mengadakan pertemuan dengan Perbadanan Kereta Api (RAC) tentang perkara itu.

“Ia merangkumi aspek pembangunan dan penambahbaikan di kawasan laluan keretapi di negeri ini tanpa mengira sama ada kawasan itu masih beroperasi atau terbiar sekian lama,” katanya. Status jambatan yang berusia lebih 100 tahun ini dan menjadi jambatan kereta api tertua di Malaysia diketahui umum mendapat sentuhan idea dari dua jurutera iaitu GW Fryer, Divisional Engineer dan CR Hanson. Menerusi usaha dan tindakan pantas pihak berwajib sehingga kini, membuatkan impian untuk menjadikan Jambatan Victoria dan kawasan sekitarnya membangun, akan menjadi kenyataan.