SERI ISKANDAR – Seorang eksekutif komunikasi syarikat penyiaran terkenal nyaris dirompak lelaki bersama rakannya yang dikenalinya melalui aplikasi sosial WeChat.

Ketua Polis Daerah Perak Tengah, Superintendan Mohamad Zainal Abdullah berkata, hasil siasatan awal mendapati mangsa berusia 31 tahun mengenali suspek melalui WeChat 18 Jun lalu berjumpa pertama sehari selepas itu di Pekan Kampung Gajah.

“Bagaimanapun sekitar jam 3 pagi tadi suspek mengajak mangsa berjumpanya melalui pesanan ringkas di

WeChat untuk melihat perlawanan bola sepak Piala Dunia di kedai makan.

“Mangsa setuju ambil suspek di Jambatan Dato’ Sagor, Kampung Gajah sebelum diarahkan suspek memandu ke Kampung Kunci Air Salleh, Kampung Gajah,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurut Mohamad Zainal, kereta yang dinaiki mangsa dan suspek kemudiannya dihadang sebuah motosikal Honda Wave yang tidak mempunyai nombor pendaftaran di belakangnya.

“Di sisi penumpang pula terdapat sebuah lagi motosikal Yamaha LC dan secara tiba-tiba seorang daripada mereka menghunus parang melalui tingkap sebelum suspek dikenali mangsa bertindak merampas kunci keretanya.

“Suspek kemudiannya meminta mangsa menyerahkan wang tunai dan harta benda yang berharga kepadanya, tetapi belum sempat mangsa berbuat demikian sebuah kereta peronda Polis muncul di kawasan tersebut,” katanya.

Tambahnya, mangsa kemudiannya terus menjerit meminta tolong menyebabkan suspek bersama dua rakannya lari menaiki motosikal sebelum dikejar polis.

“Pegawai penangkap kemudian bertindak mengejar suspek yang melarikan diri melalui jalan kebun kelapa sawit menghala ke Kampung Pasir Garam, Kampung Gajah.

“Sebuah motosikal Yamaha LC dinaiki suspek terbabas dan suspek berjaya ditangkap polis manakala dua lagi meloloskan diri dan kes disiasat di bawah Seksyen 393 Kanun Keseksaan,” katanya – sinar