BUKIT BERUNTUNG: Kanak-kanak berusia 10 tahun nyaris maut dihempap tetulang konkrit yang runtuh dari bumbung rumahnya di tingkat lima Blok J, Apartment Anggerik, Taman Bunga Raya, di sini, jam 1.35 tengah hari.

Kejadian itu berlaku ketika Muhammad Haziq Shaharudin bersiap untuk ke sekolah agama, sementara ibunya, Aminah Alias, 48, menunaikan solat di ruang tamu rumah.

Haziq berkata , kejadian berlaku ketika hujan lebat dan runtuhan tetulang konkrit serta batu itu runtuh dipercayai akibat disambar petir.

Menurutnya, dia berdiri berdekatan tempat duduk di ruang tamu rumahnya sebelum struktur itu tiba-tiba runtuh di sebelahnya lalu menghempap tempat duduk berkenaan.

“Saya jerit ibu… ibu… bumbung jatuh. Ibu yang sedang solat masa itu terpaksa berhenti sebab bumbung itu jatuh dekat dengan ibu,” katanya yang ditemui ketika lawatan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batang Kali, Harumaini Omar di rumahnya.

Haziq berkata, sebelum itu dia terdengar bunyi dentuman yang kuat dari atas bumbung dan disusuli runtuhan tetulang konkrit itu.

Aminah yang ditemui berkata, dia tergamam dan dalam keadaan terkejut dia memeluk Haziq lalu menariknya ke tepi.

“Masa itu hanya saya dan Haziq ada di rumah. Suami kerja dan dua lagi anak sekolah.

“Saya tak tahu nak buat apa masa itu sebab amat terkejut. Hanya tertanya, betulkah rumah saya (berlubang) macam ini,” katanya memaklumkan kejadian kepada suaminya yang bekerja di Rawang.

Aminah berkata, kejadian itu menyebabkan bumbung rumahnya berlubang dan ruang tamu dipenuhi air hujan serta bekalan elektrik terputus.

Sementara itu, Harumaini berkata, atas inisiatif pihak Jawatankuasa Pengurusan Bersama (JMB) Apartment Anggerik, mangsa kini ditempatkan sementara di dewan apartment berkenaan.

Katanya, bantuan segera iaitu wang tunai dihulurkan dan beliau akan membantu pihak JMB menguruskan keperluan penempatan lain lebih selesa sementara kerja membaik pulih dilakukan dalam masa terdekat – berita harian