LELAKI berdepan detik cemas apabila kenderaan dinaiki terbabas sebelum melanggar besi penghadang jalan di Kilometer 53, Lebuhraya Kuala Lumpur-Karak (KLK), di Bentong, semalam.

Dalam kejadian 1.30 tengah hari, mangsa yang berusia 30-an hanya cedera di beberapa bahagian badan, meskipun besi penghadang itu menembusi keretanya dari bahagian hadapan hingga ke belakang

Timbalan Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pahang Mohd Sani Harul berkata, ketika kejadian, mangsa memandu seorang diri dari arah Kuala Lumpur ke arah Kuantan.

“Kami menerima panggilan 1.20 tengah hari berhubung kejadian sebelum tujuh anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bentong bergerak ke lokasi.

“Sebaik tiba, kami dapati kereta mangsa ditembusi besi penghadang jalan dari bahagian lampu kiri hadapan. Bagaimanapun, mangsa bernasib baik kerana besi berkenaan hanya menembusi pada bahagian kiri kenderaan,” katanya ketika dihubungi NSTP.

Beliau berkata, pihaknya mengambil masa kira-kira lima minit untuk mengeluarkan mangsa yang tersepit di bahagian tempat duduk

Menurutnya, lelaki yang luka pada muka, badan, kaki dan tangan dihantar ke Hospital Bentong untuk menerima rawatan – hmetro