TINDAKAN seorang lelaki melanggar lampu isyarat merah menyebabkan kereta dipandunya dilanggar lori di persimpangan lampu isyarat Jalan Maharajalela menghala Masjid Negara, Kuala Lumpur, awal pagi hari ini.

Dalam kejadian 3.20 pagi itu, mangsa, Lim Kok Beng, 43, disahkan maut di lokasi kejadian akibat parah di seluruh badan.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Kuala Lumpur Asisten Komisioner Zulkefly Yahya berkata, siasatan awal di lokasi kejadian mendapati kemalangan berlaku apabila lori dipandu, Harun Ansari Zakaria Ansari, 30, dari arah Cheras menuju ke Pasar Borong Selayang merempuh kereta Proton Waja dipandu mangsa yang melanggar lampu isyarat merah di persimpangan terbabit.

“Akibat perlanggaran itu, mangsa terseret dan kereta dipandunya merempuh lampu isyarat di tengah pembahagi jalan lalu memasuki laluan bertentangan menghala ke Cheras.

“Kemalangan itu mengakibatkan mangsa cedera parah di seluruh badan dan disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian, manakala penumpang wanita yang bersama lelaki itu hanya cedera ringan,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Zulkefly berkata, sampel darah mangsa sudah diambil untuk dihantar ke Jabatan Kimia bagi mengetahui sama ada pemandu kereta terbabit dalam pengaruh alkohol atau tidak.

Beliau berkata, siasatan lanjut berhubung kemalangan itu sedang dijalankan mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987 – hmetro