IPOH : “Nyawa terakhir.” Itu ugutan diterima seorang lelaki bergelar Datuk sebelum cermin hadapan kenderaannya ditembak dua lelaki menunggang motosikal di hadapan sebuah restoran di Taman Meru 2B di sini, pagi tadi.

Dalam kejadian jam 6.56 pagi itu, mangsa yang juga pemilik kedai dobi berusia 50 tahun bagaimanapun selamat.

Menurut sumber, mangsa dipercayai menerima ugutan pertama pada bulan lalu menerusi surat dan antara isi kandungan surat berkenaan meminta wang sebanyak RM3 juta namun tidak menghiraukan ugutan itu.

“Pagi tadi selepas mangsa solat Subuh di sebuah surau di Taman Meru 2B di sini, mangsa menerima sekeping nota tertera tulisan ‘Nyawa Terakhir’ diselitkan di cermin hadapan kenderaan utiliti sukan (SUV) jenis Mitsubishi Outlander dinaikinya.

“Mangsa tidak menghiraukannya dan terus memandu menuju ke sebuah restoran di Taman Meru 2B berhampiran kedai dobi miliknya dan ketika mangsa sedang bersarapan dua lelaki menaiki sebuah motosikal menghampiri kenderaan mangsa yang diletakkan di hadapan restoran berkenaan sebelum melepaskan satu das tembakan ke cermin hadapan bahagian pemandu,” katanya.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Perak, Senior Asisten Komisioner Yahya Abdul Rahman ketika dihubungi mengesahkan kejadian itu dan berkata, ketika mangsa minum di restoran berkenaan, kenderaannya didatangi dua suspek memakai topi keledar gelap dan menaiki motosikal tanpa nombor pendaftaran.

“Seorang daripada suspek bertindak melepaskan tembakan pada cermin hadapan kenderaan terbabit.

“Mangsa bagaimanapun tidak cedera dan selamat.

“Siasatan lanjut masih dijalankan dan kes disiasat mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan kerana cubaan bunuh dan Seksyen 385 Kanun Keseksaan kerana melakukan pemerasan,” katanya.

Sementara itu, pekerja kedai yang hanya mahu dikenali sebagai Shah berusia 27 tahun berkata, mangsa adalah pelanggan tetap di kedai berkenaan.

Katanya, ketika kejadian, dia ternampak dua lelaki menunggang sebuah motosikal namun tidak dapat melihat dengan jelas berikutan kedua-duanya memakai topi keledar berpenutup gelap.

“Ketika itu, pelanggan kedai tidak ramai, tidak sampai 10 orang namun secara tiba-tiba saya terdengar satu das tembakan dilepaskan.

“Dua lelaki itu kemudian melarikan diri dengan memecut laju motosikal,” katanya – berita harian