IPOH – Seorang lelaki maut selepas motosikal yang ditungganginya hilang kawalan dan terbabas di tengah jalan dekat Jalan Kelab Golf, berdekatan susur Jalan Tun Suffian, di sini pada malam Selasa.

Dalam kejadian pukul 7.50 malam itu, mangsa Ng Yun Sin, 59 dari Ampang Baru, dekat sini, yang juga orang kelainan upaya (OKU) meninggal di hospital ketika sedang mendapatkan rawatan.

Ketua Polis Daerah Ipoh ACP Sum Chang Keong berkata, siasatan awal mendapati mangsa yang menunggang motosikal dari rumah menuju ke pusat bandar secara berseorangan itu telah terbabas dengan sendiri.

“Semasa sampai di tempat kejadian, mangsa dipercayai telah hilang kawalan sebelum terlanggar pembahagi tengah jalan lalu terbabas ke tengah jalan.

“Akibat kemalangan, mangsa cedera parah dan dibawa ke Hospital Raja Permaisuri Bainun Ipoh untuk rawatan dan sekitar jam 9.30 malam mangsa telah disahkan meninggal dunia di zon kritikal hospital tersebut,” katanya.

Tambah beliau, hasil bedah siasat mendapati punca kematian adalah disebabkan “Head Injury Consistent with Road Traffic Crash” dan siasatan masih diteruskan.