IPOH – Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Perak berjaya menurunkan kadar kemalangan maut dan jumlah kematian antara 6.4 peratus hingga 14.3 peratus sepanjang Op Selamat 13 yang berakhir 22 Jun lalu.

Ketua JSPT negeri, Superintendan Ahmad Adnan Basri berkata, penurunan itu hasil pemantauan dan penguatkuasaan secara berkesan dijalankan 10 pasukan khas di 52 lokasi panas dan 14 lokasi hitam sepanjang Jalan Persekutuan yang kerap berlaku kemalangan.

Menurutnya, jumlah kemalangan menurun 25 kes kepada 1,919 berbanding 1,944 kes, tahun lepas sementara kematian merekodkan 30 mangsa, menurun lima orang berbanding tahun sebelumnya.

“Daripada 29 kes kemalangan maut, paling tinggi dicatatkan di daerah Kerian iaitu enam kes diikuti Taiping (5), Gerik (4), Ipoh dan Hilir Perak masing-masing (3), Tapah, Kuala Kangsar, Kampar (2) manakala Perak Tengah dan Selama (1).

“Kebanyakan kemalangan maut melibatkan motosikal iaitu 22 kes, kereta (4), pacuan empat roda (2), pejalan kaki dan basikal (1),” katanya kepada pemberita, semalam.

Beliau berkata, meskipun secara keseluruhan berlaku penurunan kes, namun pihaknya mengesan beberapa kawasan baru dikategorikan sebagai lokasi panas dan hitam.

Seperti di Kerian katanya, semua enam kematian dicatatakan berlaku di kawasan yang tidak dikategorikan sebagai lokasi hitam antaranya di Batu 9, Jalan Pantai Tanjung Piandang; Jalan Titi Serong-Tanjung Piandang dan Jalan Selinsing.

“Lokasi-lokasi ini akan kita berikan tumpuan untuk operasi seterusnya,” katanya.

Terdahulu, beliau ditemui sempena Op Garisan Berkembar dan Op Pandu Laju bersama Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik IPD Tapah di KM64 dan KM78 Jalan Ipoh-Kuala Lumpur di Bidor.

Dalam operasi itu, sebanyak 66 saman dikeluarkan atas pelbagai kesalahan melibatkan kereta (34), kenderaan pelbagai guna (8), motosikal (7), pacuan empat roda (3), van dan jeep (1).

Ahmad Adnan berkata, operasi itu dilakukan berikutan kebimbangan kes kemalangan dan kematian melibatkan motosikal yang kerap berlaku.

“Untuk tempoh enam bulan ini, empat kes kemalangan maut telah direkodkan di laluan ini berpunca daripada sikap pemandu kenderaan yang memotong di garisan berkembar dan memandu laju,” katanya – sinar