KAMPAR – Sebanyak 26 saman dan enam notis dikeluarkan kurang dua jam operasi bersepadu Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik, Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti (JPJKK) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kampar dan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Kampar, semalam.

Ketua Polis Daerah Kampar, Superintendan Ng Kong Soon berkata, operasi diadakan jam 11 pagi sehingga 12.30 tengah hari itu dijalankan di KM34, Jalan Ipoh-Kuala Lumpur berhampiran Taman Kampar Siswa, di sini.

Menurutnya, Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik mengeluarkan 16 saman melibatkan pelbagai kesalahan termasuk tiada lesen memandu, lesen tamat tempoh, lampu brek tidak menyala.

“Pihak JPJ Kampar pula mengeluarkan 10 saman dan enam notis kepada pengguna jalan raya yang didapati melakukan kesalahan,” katanya kepada Sinar Harian.

Kong Soon berkata, pihaknya melakukan pemeriksaan ke atas 58 orang dan 53 pelbagai kenderaan sepanjang operasi itu berjalan.

Katanya, tiada waran dikeluarkan dan tidak ada tangkapan dilakukan dalam tempoh operasi itu diadakan berhampiran Taman Kampar Siswa.

“Pihak kami akan terus menjalankan operasi dan pemeriksaan dari semasa ke semasa bagi memastikan pengguna jalan raya mematuhi undang-undang jalan raya yang telah ditetapkan,” katanya.

-Sinarharian