PUTRAJAYA – Jabatan Imigresen memulakan operasi menangkap kira-kira 1.1 juta pendatang asing tanpa izin (PATI) malam tadi yang gagal mendapatkan Enforcement Card (E-Kad) selepas tempoh permohonan berakhir semalam.

Ketua Pengarahnya, Datuk Seri Mustafar Ali berkata, pihaknya kecewa dengan sikap berlengah para majikan yang tidak membuat pendaftaran awal walaupun program untuk memohon kad sementara itu telah dilancarkan sejak 15 Februari lalu.

Menurutnya, setakat pukul 10 malam tadi, hanya 27 peratus iaitu 160,586 PATI melibatkan 28,293 majikan telah membuat permohonan manakala seba­nyak 145,462 E-Kad telah dike­luarkan.

Beliau berkata, jumlah tersebut jauh lebih rendah daripada sasaran asal iaitu 600,000 PATI yang dijangka membuat permohonan E-Kad.

Katanya, warga Bangladesh merupakan PATI yang tertinggi mendaftar E-Kad diikuti Indonesia, Myanmar dan Nepal.

“Kita kecewa sebab peluang yang diberikan tidak diambil oleh majikan dan pekerja. Gerakan dan operasi besar-besaran menggempur PATI akan bermula pada pukul 12 tengah malam (malam tadi) di seluruh negara,” katanya pada sidang akhbar di sini malam tadi.

-Kosmo