PUTRAJAYA: Jabatan Imigresen (Imigresen) akan melancarkan operasi besar-besaran mulai tengah malam ini yang bukan sahaja menumpukan kepada pekerja asing, malah turut ‘memburu’ majikan yang melindungi mereka.

Operasi itu juga memberi tumpuan terhadap sindiket yang membawa masuk warga asing yang tiada keperluan dalam pasaran pekerjaan di negara ini.

Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Seri Mustafar Ali, berkata operasi yang dinamakan sebagai Hari Hari Operasi atau HHO itu diadakan berikutan berakhirnya Program 3+1 iaitu program serah diri dan pulang secara sukarela.

Menurutnya, bermula Januari hingga 28 Ogos lalu, sebanyak 181,529 PATI sudah mendaftar dan pulang ke negara masing masing yang kebanyakannya dari Indonesia dan Bangladesh.

Beliau berkata, sejak program dilaksanakan 2014, sebanyak 867,336 pendatang asing tanpa izin (PATI) menyertai program ini dan sudah dihantar pulang secara sukarela.

“Kita tidak akan berkompromi dengan mereka, sudah banyak masa diberikan untuk mereka mendaftar di dalam program ini.

“Imigresen akan melaksanakan penguatkuasaan secara agresif bagi memastikan sebanyak mungkin PATI dihantar pulang serta majikan yang degil pula akan diambil tindakan.

“Kita akan mengambil segala langkah yang perlu dan tindakan tegas bagi menangani isu berkaitan PATI dan warga asing,” katanya dalam sidang media selepas menghadiri Perhimpunan Bulanan bersama warga Imigresen, di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Mustafar berkata kawalan di pintu masuk negara juga diperketatkan bagi mengurangkan risiko potensi pelawat asing bertukar status menjadi PATI apabila sudah berada di negara ini.

Sepanjang tahun ini, beliau berkata seramai 43,429 pelawat asing ditolak kemasukan (NTL) ke negara ini kerana kedatangan mereka diragui – berita harian