GOPENG 30 Mac – Operasi mencari Mohammad Ashraf Hassan yang dilaporkan hilang semasa menyertai perlumbaan lasak, Gopeng Ultra Trail Sabtu lalu dihentikan hari ini pada pukul 1 petang.

Ketua Polis Daerah Kampar, Superintenden Hasron Nazri Hashim berkata, gerakan mencari mangsa sepanjang tujuh hari itu disertai seramai 180 pegawai dan anggota daripada pelbagai agensi serta kira-kira 700 ke 800 orang awam.

“Pos Kawalan Tempat Kejadian (PKTK) dibuka pada Ahad lalu selepas pihak polis menerima maklumat kejadian itu pada pukul 1.09 pagi hari yang sama.

“Operasi pencarian dijalankan setiap hari bermula pukul 9 pagi hingga 6 petang termasuk sebelah malam berdasarkan keperluan dan maklumat yang diterima. Keseluruhan operasi mencari mangsa telah berlangsung selama tujuh hari,” katanya dalam sidang akhbar di Dewan Orang Ramai Kampung Pintu Padang di sini hari ini.

Yang turut hadir, Ahli Parlimen Gopeng, Dr. Lee Boon Chye; Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) negeri, Mohamad Yunus Abu; Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Gopeng, Rohana Mustafa dan Pegawai Daerah Kampar, Khairul Anwar Ramli.

Hasron Nazri bagaimanapun berkata, PKTK akan diaktifkan semula sekiranya mendapat maklumat lanjut atau petunjuk baharu di tempat kejadian.

“Namun mana-mana badan sukarela atau orang perseorangan yang ingin membuat pencarian adalah dibenarkan tetapi perlu memaklumkan kepada Balai Polis Gopeng di talian 05-3592222,” katanya.

Dalam perlumbaan pada Sabtu lalu, Mohammad Ashraf, 29, bersama 485 peserta lain menyertai acara tersebut yang bermula dari Gua Tempurung bagi kategori 25 Kilometer pada pukul 7.30 pagi.

Kehilangan lelaki itu bagaimanapun hanya disedari selepas selesai perlumbaan pada pukul 2 petang oleh rakannya yang kemudian melaporkan perkara itu kepada penganjur. – UTUSAN ONLINE