SERI MANJUNG– Operasi mencari dan menyelamat seorang warga emas yang dipercayai hilang di hutan berhampiran Teluk Rubiah, di sini sudah memasuki hari keenam hari ini.

Mangsa Ho Tong Chim, 89, yang tinggal di Kampung Dato’ Seri Kamaruddin (KDSK) dikatakan keluar menjerat binatang di kawasan itu pada petang Ahad lalu dan sehingga kini masih belum ditemui.

Komander Operasi yang juga Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Seri Manjung, Shuib Idris berkata, operasi yang sudah memasuki hari keenam itu kini tertumpu kepada pencarian di kawasan bertali air seperti parit, longkang dan sungai kecil.

Menurutnya, radius kawasan mencari juga turut diperluaskan hingga lebih kurang lima kilometer.

“Setakat ini tidak ada sebarang petunjuk baru yang diperolehi namun pencarian turut dilakukan di kawasan yang telah kita cari sebelum ini selain menambah lokasi baru di kawasan bertali air seperti parit, longkang dan sungai kecil.

“Pencarian juga turut dilakukan di kawasan bandar iaitu di sekitar Seri Manjung, hospital, rumah orang tua dan kawasan tertentu.

“Pencarian ini turut dibantu oleh anak-anak mangsa serta rakan-rakannya,” katanya semalam.

Shuib turut memaklumkan operasi itu disertai 42 anggota bomba melibatkan 12 dari Unit Khas Bomba dan 30 lagi dari Balai Bomba dan Penyelamat Seri Manjung selain turut dibantu 20 anggota polis dan anggota Rela.

“Kita juga turut menggunakan dua anjing dari unit anjing pengesan (K9) JBPM,” katanya.

Sementara itu, anak mangsa, Ho Yong Ming,50, berkata, bapanya keluar dari rumah pada jam 2.30 petang Ahad lalu dengan menaiki motosikal.

“Sebelum keluar bapa ada memaklumkan kepada saya untuk keluar sekejap.

“Namun selepas beberapa jam bapa masih belum pulang dan saya bersama beberapa penduduk serta rakan pergi ke hutan itu untuk mencarinya,” katanya.

Yong Ming berkata, bapanya itu mempunyai masalah pendengaran selain mudah lupa serta masalah batu karang.

“Sudah lima bulan bapa tidak keluar menjerat dan pada hari berkenaan dia keluar seorang diri.

“Saya pergi ke rumahnya pada Ahad lalu dia dia cakap mahu keluar tetapi lepas dua jam masih juga belum pulang.

“Saya risau dengan keselamatannya dan mengajak beberapa rakan ke kawasan hutan itu dan menemui motosikal Honda EX5 bapa di hadapan jalan masuk ke dalam hutan,” katanya.

Yong Ming membuat laporan polis bagi mendapatkan bantuan mencari bapanya selain dia sendiri turut membantu.

Sementara itu, Timbalan Ketua Polis Daerah Manjung, Deputi Superintendan Chong Boo Khim ketika dihubungi mengesahkan kejadian dan operasi mencari serta menyelamat masih diteruskan – sinar