GOPENG: Operasi mencari dan menyelamat (SAR) peserta larian Gopeng Ultra Trail (GUT) 2019, Muhammad Ashraf Hassan atau lebih dikenali sebagai Acap, yang hilang sejak 23 Mac lalu, kini tertumpu semula di kawasan sekitar Gua Tempurung.

Operasi yang memasuki hari ke-14 hari ini, membabitkan 22 anggota termasuk empat pegawai dari Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JPBM) Perak.

Ketua Zon 1, JPBM Perak yang juga Komander Operasi JPBM bagi pencarian itu, Mohd Khairul Jamil, berkata operasi ditumpukan di kawasan berkenaan kerana pihaknya mendapat makluman ada ramai sukarelawan mengambil inisiatif sendiri melakukan pencarian di kawasan berkenaan meskipun tidak dibenarkan.

Katanya, kawasan pencarian tertumpu di bahagian belakang dan keseluruhan kawasan gua berkenaan dan pencarian itu adalah yang kelima dijalankan di kawasan Gua Tempurung berdasarkan beberapa maklumat baharu yang diterima.

“Penumpuan diberikan di kawasan Gua Tempurung pada hari ini dan kita akan terus berusaha untuk melakukan pencarian serta berharap mangsa dapat ditemui.

“Kami juga mendapat bantuan daripada polis, APM (Angkatan Pertahanan Awam) dan Jabatan Hutan. Bagaimanapun, apa yang merunsingkan kami sehingga kini belum ada petunjuk tepat lagi,” katanya.

Operasi mencari dan menyelamat Acap diteruskan hari ini di kawasan sekitar Gua Tempurung. – Ihsan Bomba
Operasi mencari membabitkan 22 anggota termasuk empat pegawai Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak. – Ihsan Bomba

Mohd Khairul turut menasihatkan sukarelawan yang mendapatkan kebenaran polis untuk membantu melakukan pencarian supaya berhati-hati dan mengutamakan keselamatan.

Katanya, selepas mendapat kebenaran polis, semua sukarelawan perlu mengutamakan keselamatan kerana di dalam hutan terutama di pinggir hutan ada pelbagai binatang berbisa seperti ular.

“Anggota bomba pernah menemui haiwan berbisa itu dan mengingatkan sukarelawan supaya sentiasa berhati-hati ketika berada di hutan,” katanya.

Mohammad Ashraf, 29, dari Muar, Johor bersama 485 peserta lelaki dan perempuan yang lain memulakan larian dari Gua Tempurung bagi kategori 25 kilometer pada pagi 23 Mac lalu dan sepatutnya berakhir pada hari berkenaan di lokasi sama.

Kehilangan mangsa disedari kawannya, Mohd Farid Md Kamal, 32, apabila mendapati Mohammad Ashraf masih tidak sampai selepas selesai perlumbaan sebelum membuat laporan polis kira-kira 1 pagi, hari berikutnya – Berita harian