GOPENG: Operasi pencarian peserta Gopeng Ultra Trail, Mohammad Ashraf Hassan, 29, yang dilaporkan hilang ketika menyertai larian itu pada Sabtu lalu tetap diteruskan walaupun petunjuk yang diperolehi, belum menampakkan hasil.

Operasi akan diteruskan bersama-sama jabatan dan agensi terlibat termasuk mereka yang pakar dalam mengesan dan mencari orang hilang dilakukan sehingga mangsa berjaya ditemui.

Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, Azmi Osman berkata,
petunjuk yang diperolehi sebelum ini seperti penemuan botol air dipercayai milik mangsa, tidak menunjukkan hasil positif.

“Sehingga hari ini, mangsa masih belum lagi ditemui. Walau macam mana pun gerakan ini tidak akan terhenti pada hari ini, sebaliknya kita akan teruskan pencarian kerana kira merasa yakin bahawa masih ada lagi mangsa di kawasan persekitaran ini.

“Jadi gerakan-gerakan ini secara koloberasi secara bersama dengan pasukan penyelamat, saya yakini bahawa ianya akan dijumpai, cuma kita mungkin mengambil masa lagi kerana kita memerlukan bukti-bukti ataupun petunjuk-petunjuk yang baru ke arah mana pergerakan mangsa yang hilang,” katanya.

Beliau ditemui ketika meninjau operasi di Pos Kawalan Pencarian di Kampung Sungai Itek, Gopeng pada Rabu.

Mohammad Ashraf dipercayai hilang ketika mengambil bahagian di dalam Gopeng Ultra Trail sejauh 25 kilometer yang bermula dan berakhir di Gua Tempurung.

Dalam pada itu, Azmi berkata, operasi pencarian yang bermula pada radius 8km akan diperluaskan hingga 12km.

Menurutnya, operasi tidak lagi berfokus pada kawasan puncak Bukit Batu Putih tetapi di sepanjang laluan terakhir iaitu di check point 10 melibatkan kawasan perkampungan penduduk dan Orang Asli.