TAIPING: Masalah penggunaan bubu naga kalangan nelayan yang menjejaskan ekosistem perairan Perak akan ditangani segera melalui program pemutihan hasil kerjasama beberapa agensi tempatan.

Pengarah Jabatan Perikanan Negeri Perak, Zaki Mokhri berkata penggunaan bubu naga yang semakin berleluasa di sekitar Pantai Remis, Kuala Sepetang dan Larut-Matang merupakan satu perkara serius dan memerlukan tindakan segera.

Katanya,buat masa ini pihaknya sedang giat merangka klasifikasi terbaru bagi spek bubu yang tepat untuk penggunaan golongan nelayan di negeri ini.

“Pertamanya, kita kena tahu dari segi spek bubu yang betul, sekiranya bubu tersebut mempunyai lebih daripada dua injap ianya menyalahi undang-undang.

“Justeru itu, kita akan membuat pembersihan atau pemutihan dan operasi untuk menghentikan penggunaan bubu naga,”katanya kepada pemberita dalam Majlis Ramah Mesra jabatan bersama nelayan darat dan pantai di Jeti Kampung Dew Kelip-kelip di sini, pada petang Jumaat.

Ketika bercakap mengenai samada tindakan undang-undang bakal dilaksanakan kepada pengusaha bubu naga, Zaki mengulas bahawa ianya tidak perlu berbuat demikian buat masa ini dan memfokuskan kepada kesedaran.

Katanya, golongan nelayan perlu mempunyai penglibatan secara terus kepada ilmu mengenai pengurusan sumber laut untuk tujuan kesedaran pihak tersebut.

Dalam sesi dialog tersebut, antara isu yang dibangkitkan adalah masalah pencerobohan pukat tunda dan sorong di persisiran pantai dan muara sungai oleh golongan tidak bertanggungjawab.

Zaki berkata, tindakan licik sesetengah pemilik bot-bot pukat tunda tersebut adalah dengan menutup plat kapal mereka agar tidak dikesan oleh golongan nelayan.

“Mereka sepatutnya mematuhi peraturan lima batu nautika dari jarak persisiran pantai bagi operasi mereka, tapi mereka selalu buat tidak endah.

“Sekiranya mereka tertangkap, lesen mereka akan digantung namun buat masa ini, kami akan bekerjasama dengan pihak Maritim dan mana-mana agensi berwajib bagi memikirkan langkah terbaik untuk menangani perkara ini,”ujarnya lagi.

Malah, Zaki juga meluahkan perasaan kecewanya terhadap golongan pengusaha kolam udang yang bertindak membuang sisa ke perairan yang akan membunuh hasil-hasil laut.

Perkara tersebut, menurut Zaki turut dilakukan oleh golongan perindustrian dan perusahaaan kelapa sawit di kawasan berhampiran dan menjejaskan pendapatan dan hasil laut dan sungai.

Dalam majlis tersebut, Zaki mengumumkan sebanyak 360 nelayan darat dan pantai di seluruh Perak telah menerima manfaat tong penyimpanan bernilai RM181,000 secara keseluruhannya.