IPOH: Operasi mencari dan menyelamat (SAR) peserta Gopeng Ultra Trail, Mohammad Ashraf Hassan, 29, yang dilaporkan hilang sejak 23 Mac lalu, ditangguhkan sementara mulai Rabu, 17 April.

Ketua Polis Perak, Datuk Razarudin Husain berkata, keputusan itu dibuat setelah tiada petunjuk baru yang diperolehi oleh pasukan penyelamat dan pasukan siasatan selepas 25 hari pencarian.

Menurutnya, mangsa masih belum ditemui walaupun operasi mencari dan menyelamat telah menggunakan pelbagai kaedah terkini dan pasukan yang berpengalaman, selain perluasan kawasan pencarian daripada 35 kilometer persegi kepada 48 kilometer persegi.

“Penangguhan ini juga bagi membolehkan pasukan penyelamat merangka strategi lain yang mungkin boleh membantu mengesan mangsa berdasarkan kepada pengalaman kes seumpama ini yang pernah pada masa lepas,” katanya dalam kenyataan pada Rabu.

Selain itu, kata beliau, ia juga memberi ruang kepada keluarga mangsa untuk bertenang dan memikirkan alternatif lain dalam pencarian mangsa selain bagi mengelakkan keluarga menjadi sasaran kepada berita ataupun kenyataan-kenyataan yang tidak benar dari masyarakat.

“Ia juga menghadkan pergerakan percarian oleh orang ramai di kawasan terlibat sehingga boleh mengganggu sensitiviti masyarakat selain memberi ruang kepada penduduk melaksanakan tindakan mengesan mangsa dalam konteks setempat,” ujarnya.

Beliau memberitahu, operasi pencarian peringkat pertama telah dimulakan sehari selepas mangsa dilaporkan hilang sebelum dihentikan pada 30 Mac.

Bagaimanapun, ia disambung semula di peringkat kedua sehingga kini tetapi masih tidak menemui petunjuk baru merungkai kehilangan mangsa.

Dalam kejadian 23 Mac lalu, Mohammad Ashraf atau lebih dikenali Acap dilaporkan hilang ketika mengambil bahagian dalam kategori 25 kilometer yang bermula dan berakhir di Gua Tempurung.