IPOH : Jabatan Kesihatan Negeri Perak memulakan secara rasmi operasi penguatkuasaan larangan merokok di tempat-tempat makan di seluruh negeri pada Rabu.

Operasi dijalankan mengikut tiga shift bermula pagi, petang dan malam, di semua tempat makan termasuk restoran dan gerai tepi jalan.

Di daerah Kinta sahaja, operasi bermula sekitar jam 10 pagi dengan lapan pasukan penguatkuasaan yang melibatkan lebih 20 anggota melakukan pemeriksaan sambil diiringi anggota polis.

Bagaimanapun, selepas tempoh penguatkuasaan pendidikan sepanjang tahun 2019, dijangka perokok mula membiasakan diri dengan peraturan baru itu.

Beberapa peniaga makanan yang ditemui, mengakui menjelang hujung tahun lalu, sukar untuk melihat pelanggan merokok di dalam premis mereka.

Peniaga di Medan Selera Datuk Sagor, Norliliyana Khalid berkata,
sebelum adanya kempen larangan merokok itu, ramai pelanggan yang merokok di merata-rata tempat tanpa menghiraukan kanak-kanak, orang tua-tua, wanita dan ibu mengandung.

Bagaimanapun, katanya, sejak kempen itu dilancarkan awal tahun lalu, ramai perokok telah mula mematuhi peraturan yang ditetapkan.

“Mungkin disebabkan kompaun yang tinggi, mereka mengambil inisiatif mereka menjauhkan diri daripada kanak-kanak, tempat berniaga dan kawasan-kawasan larangan merokok,” katanya.

Bagi Lee Ming Ying yang telah berniaga makanan lebih 40 tahun, sejak larangan merokok itu dilancarkan, pelanggan yang ingin merokok pergi jauh dari tempat makan.

“Kalau dulu, ramai yang merokok di tempat makan menyebabkan bau rokok yanv kuat tetapi sekarang tidak lagi,” ujarnya.

Pada Selasa, Exco Kesihatan Perak, A. Sivanesan berkata, penguatkuasaan larangan merokok di tempat makan yang bermula 1 Januari 2020 akan dijalankan 24 jam, tanpa sebarang notis makluman.

Ia sebagai amaran kepada perokok supaya sentiasa mematuhi larangan itu, tanpa mengira batas waktu dan tempat.