IPOH: Semua premis kedai makan, kedai serbaneka, pam minyak dan kedai runcit di seluruh Perak akan beroperasi bermula 7 pagi hingga 7 malam bermula hari ini.

Menurut Menteri Besar Perak, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu, arahan itu turut meliputi perkhidmatan pandu lalu (drive-through) dan kedai serbaneka 24 jam, termasuk 7 Eleven.

Katanya, arahan ini berkuatkuasa mulai 23 Mac hingga 31 Mac atau sehingga tempoh Perintah Kawalan Pergerakan ditarik balik.

“Semua kedai serbaneka dan pam minyak di stesyen minyak seluruh negeri Perak beroperasi bermula 7 pagi hingga 7 malam.

“Semua kedai runcit dan kedai serbaneka 24 jam termasuk 7 Eleven di seluruh Perak beroperasi bermula 7 pagi hingga 7 malam.

“Hanya premis dan perniagaan dibenarkan beroperasi sahaja boleh menjalankan operasi seperti biasa manakala yang lain perlu menutup operasi masing-masing,” katanya.

Ahmad Faizal berkata demikian dalam satu kenyataan selepas mempengerusikan mesyuarat Jawatankuasa Kerja Keselamatan Negeri Perak di Bangunan Perak Darul Ridzuan, di sini pada Isnin.

Katanya, semua agensi diminta memberi kerjasama dan sokongan kepada Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) dan Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah.

“Penglibatan agensi komunikasi di peringkat negeri dan tertumpu kepada peningkatan kesedaran dalam kalangan masyarakat di negeri ini.

“Pihak yang bermurah hati dan ingin menyumbang kepada petugas dan anggota keselamatan yang terlibat boleh menyalurkannya menerusi Pejabat Daerah atau balai polis berhampiran,” ujarnya