GEORGETOWN: Operasi mencari dan menyelamat (SAR) di tapak projek Lebuhraya Berkembar Bukit Kukus di sini, akan diteruskan sehingga mayat ke-10 ditemui.

Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) negeri, Saadon Moktar berkata, ia bagi memastikan operasi SAR semua mangsa kejadian terbabit dapat ditamatkan secepat mungkin.

Katanya, pihaknya berharap operasi itu dapat ditamatkan awal pagi nanti, dengan keseluruhan proses akan dijalankan berterusan malam ini selepas mendapati faktor pencahayaan adalah mencukupi.

“Setakat ini, kita sudah berjaya mengalih 90 peratus sisa runtuhan di kawasan pencarian, selain merungkai misteri kontena ke-13 dan menemui mayat kesembilan, lelaki warga Bangladesh, Mohamad Uzzal, 33.

“Sasaran kita sekarang ini untuk menghabiskan operasi SAR secepat mungkin dengan prosesnya akan diteruskan sehingga penemuan mangsa terakhir yang dikhuatiri masih tertimbus.

“Kita percaya tiada lagi mangsa lain dan keseluruhan proses kini tertumpu untuk mencari Md Rahazan. Bagaimanapun, operasi SAR akan dihentikan sekiranya hujan,” katanya ketika dihubungi NSTP di sini, hari ini.

Sehingga kini, seramai sembilan mangsa ditemui maut, manakala tiga cedera dan seorang lagi dikhuatiri tertimbus, selepas terbabit dalam kejadian tanah runtuh, kira-kira jam 1.56 petang, Jumaat lalu di tapak projek di Bukit Kukus.

Projek bernilai RM545 juta itu adalah laluan alternatif menghubungkan Lebuhraya Thean Teik di Bandar Baru Air Itam ke Lebuh Bukit Jambul, yang dijangka siap pada Mac 2020, selepas mengalami kelewatan setahun dari jangkaan asal – berita harian