TAIPING – Pelancaran Operasi Jihad Dadah julung kali melibatkan daerah Taiping berjaya mencatat kejayaan memberangsangkan apabila sebanyak enam pengedar dadah dan 36 penagih ditahan dalam satu operasi bersepadu di kawasan Trong, awal pagi ini.

Operasi bermula jam 3 pagi dan berakhir jam 11 pagi itu turut menyaksikan dua warga asing dari Indonesia dan Pakistan ditahan di bawah kesalahan Akta Pencegahan Jenayah (Pindaan) 2017 (Poca), manakala sejumlah 20 gram heroin bernilai RM1,100 dan syabu bernilai RM100 berjaya dirampas.

Ketua Polis Daerah Taiping, Asisten Komisioner Mohamad Taib berkata, kesemua mereka ditahan itu membabitkan 41 lelaki dan tiga wanita berumur 33 hingga 52 tahun.

Menurutnya, kesemua ditahan dikenal pasti bekerja sebagai pekerja dapur arang dan bekerja sendiri.

“Operasi julung kali dilancarkan ini membabitkan seramai 84 anggota polis dan 15 anggota Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) di mana mereka perlu memantau kawasan sarang dadah dikenal pasti lama bertapak di kawasan dapur arang di Trong, dekat sini.

“Tangkapan ini merupakan kejayaan kita dalam membanteras penyalahgunaan dadah menerusi Jihad Dadah yang diadakan secara besar-besaran pada hari ini,” katanya dalam sidang media di Balai Polis Trong dekat sini hari ini.

Turut hadir Pegawai Daerah Larut Matang dan Selama Mohamed Akmal Dahalan.

Mohamad berkata, mereka akan ditahan reman untuk siasatan mengikut Seksyen 39 B Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952, Seksyen 39 A, Seksyen 12 (2), Seksyen 39(2) dan Poca.

Menurutnya, pihaknya akan meneruskan Operasi Jihad Dadah dari semasa ke semasa untuk membendung penyalahgunaan dadah di daerah ini.

“Operasi ini akan diperluaskan ke kawasan lain bagi memastikan lebih banyak kawasan di daerah Taiping bebas dari pengaruh dadah,” katanya – sinar