PUTRAJAYA: Jabatan Imigresen Malaysia (Imigresen) menahan seramai 1,224 pendatang asing tanpa izin (PATI), setakat pagi tadi, melalui 473 operasi penguatkuasaan bawah Ops Mega 3.0 yang bermula kelmarin di seluruh negara.

Ketua Pengarahnya, Datuk Seri Mustafar Ali, berkata jumlah itu termasuk PATI warga Bangladesh yang mencatat bilangan paling ramai membabitkan 399 orang, Indonesia (164), Filipina (157), Myanmar (109), Thailand (43) dan Vietnam (41).

Beliau berkata, PATI ditahan atas pelbagai kesalahan, termasuk pemalsuan dokumen itu merangkumi 922 lelaki dan 253 wanita, manakala baki 49 lagi kanak-kanak.

“Selain itu, 15 majikan turut ditahan. Pelaksanaan Ops Mega 3.0 bermula kelmarin selepas berakhir tempoh Program Penggajian dan Penempatan Semula PATI (Program Rehiring) pada 30 Jun lalu.

“Seramai 744,942 PATI dan 83,919 majikan berdaftar dalam Program Rehiring. Setakat 30 Jun lalu, dokumen membabitkan seramai 364,966 PATI diproses oleh Imigresen,” katanya pada sidang media selepas Perhimpunan Bulanan Imigresen, di sini, hari ini.

Yang turut hadir, bekas Penasihat Sosiobudaya Kerajaan, Tan Sri Dr Rais Yatim.

Mengulas lanjut, Mustafar berkata, seramai 117,448 PATI pula sudah pulang ke negara asal melalui Program Serah Diri Sukarela PATI (3+1), dari 1 Januari lalu hingga kelmarin.

“Menerusi Program 3+1, PATI dapat pulang ke negara asal melalui cara teratur dan mengikut undang-undang.

“Orang ramai digesa menyalurkan maklumat kepada Imigresen jika ada maklumat berkaitan,” katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata 13 depoh Imigresen yang menempatkan ribuan PATI di seluruh negara menelan perbelanjaan RM25 juta setahun.

“Ini satu perbelanjaan besar. Dana itu sepatutnya digunakan untuk saluran lain seperti membangunkan sektor pendidikan negara,” katanya – berita harian