KUALA LUMPUR: Seramai 97 individu ditahan termasuk 13 wanita selepas didapati positif pelbagai jenis dadah dalam Operasi Perdana (Ops Perdana) Siri 2 2018 yang dilakukan Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) Kuala Lumpur.

Dalam operasi yang dijalankan bermula jam 6 pagi semalam hingga 6 pagi hari ini, seramai 193 individu ditahan untuk menjalani saringan ujian air kencing di lebih 10 lokasi membabitkan kawasan penempatan, Projek Perumahan Rakyat (PPR), hotel bajet dan pusat hiburan sekitar ibu kota.

Ketua Pengarah AADK, Datuk Dr Abd Halim Mohd Hussin, berkata daripada jumlah itu, seramai 97 individu ditahan termasuk 84 lelaki dan 13 wanita berusia lingkungan 16 hingga 56 tahun.
“Semua yang ditahan didapati positif pelbagai jenis dadah termasuk Methaphetamine, Amphethamine, heroin dan ganja.

“Kami turut merampas pelbagai jenis dadah iaitu Eramin 5, Methaphetamine, ekstasi dan pil kuda dalam serbuan itu,” katanya yang mengetuai serbuan di Jalan Chow Kit dan Jalan Doraisamy, di sini.

Yang turut dihadiri, Timbalan Ketua Setiausaha Keselamatan, Kementerian Dalam Negeri (KDN), Datuk Seri Nadzri Siron – berita harian