IPOH – Jabatan Perhutanan Negeri Perak sedang memantau 30 hotspot dalam kawasan hutan simpan kekal sekitar negeri Perak sepanjang musim perayaan Aidilfitri ini bagi mengekang sindiket mengeluarkan hasil hutan secara haram.

Pengarah Hutan Negeri Datuk Mohamed Zin Yusop berkata 30 hotspot itu telah dikenalpasti menjadi kawasan tumpuan sindiket yang menjalankan aktiviti mengeluarkan kayu balak serta herba daripada hutan simpan kekal tanpa kebenaran.

Menurutnya seramai 30 pegawai dan kakitangan terlibat dengan kerja-kerja penguatkuasaan dalam Ops Rendang sepanjang dua minggu bermula hari ini sehingga 23 Jun.

Katanya tindakan melancarkan operasi penguatkuasaan dilakukan berikutan modus operandi sindiket yang menggunakan kesempatan cuti perayaan yang panjang untuk menjalankan aktiviti haram.

“Berdasarkan pemerhatian kegiatan pembalakan haram ini dilakukan oleh sindiket terancang yang melakukan aktiviti penebangan, mengangkut dan memproses kayu balak dan menggunakan kesempatan waktu tertentu iaitu di antara pukul 7 malam sehingga 10 malam untuk membawa keluar hasil hutan, ketika umat Islam khasnya pegawai dan kakitangan jabatan berbuka puasa dan mengerjakan solat sunat tarawih.

“Walaupun kita menyambut Aidilfitri dan ramai pegawai kita yang bercuti balik kampung namun aktiviti penguatkuasaan tetap akan kita jalankan,” katanya dalam satu sidang media di Bilik Gerakan Aras 1, Jabatan Perhutanan Negeri Perak, di sini hari ini.

Mohamed Zin berkata Ops Rendang kali ini melibatkan kerjasama daripada pihak Polis Perak, Pasukan Gerakan Am (PGA) Negeri Perak, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Negeri Perak, Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Negeri Perak dan Jabatan Imigresen Malaysia Perak.

Kata beliau kerjasama dengan polis dan JPJ akan diadakan khususnya di lima dareah iaitu Taiping, Gerik, Kuala Kangsar, Manjung dan Tanjung Malim melibatkan enam kenderaan bagi menahan lori-lori balak di atas jalanraya selain daripada pemeriksaan transit.

“Balak senang nampak tapi kayu-kayu pendek dan hasil hutan seperti herba dan sebagainya agak sukar untuk dikesan jadi dengan sekatan di jalanraya kita harap perkara ini dapat dikesan. Jabatan Imigresen akan terlibat sekiranya ada tangkapan melibatkan pendatang asing,” tambah beliau.

Katanya selain hotspot, pasukan penguatkuasa juga akan memantau kilang-kilang yang degil memproses hasil-hasil hutan haram.

Beliau bagaimana pun aktiviti kilang ini agak sukar dikesan pergerakannya kerana akan terus memproses kayu dalam masa kurang sejam bagi mengelak dijejaki pihak berkuasa.

“ Jadi untuk meningkatkan pemantauan dan penguatkuasaan, kita akan gunakan dron untuk intip kegiatan kilang-kilang kayu ini,” katanya.

Mohamed Zin berkata jabatan juga menggunakan system forest monitoring remote sensing satelit untuk mengesan sebarang perubahan kawasan hutan.

Mohamed Zin menasihatkan orang ramai untuk menyalurkan maklumat sekiranya mengetahui atau ternampak aktiviti yang mencurigakan.

“Kita memerlukan kerjasama orang ramai supaya kita dapat sama-sama memulihara dan melindungi khazanah Hutan Simpan Kekal yang merupakan khazanah alam untuk mengekalkan kelestarian alam sekitar untuk kehidupan bersama, sekaligus membawa individu yang disyaki melakukan kesalahan ke muka pengadilan,” katanya.

Beliau kemudiannya melakukan acara pelepasan kenderaan Ops Rendang yang akan bertugas sepanjang musim perayaan ini di perkarangan pejabat jabatan.