KOTA BHARU: Polis Kelantan menahan 124 penagih serta merampas pelbagai jenis dadah bernilai RM15,500 menerusi Ops Tapis Bersepadu.

Operasi yang berlangsung sejak jam 10 malam semalam sehingga 8 pagi tadi itu dilakukan pegawai dan anggota Pasukan Khas Taktikal dan Risikan Khas Narkotik (STING) Bukit Aman, Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Kelantan serta Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK).

Ketua Polis Kelantan, Datuk Hasanuddin Hassan, berkata operasi dilakukan di lapan lokasi panas sekitar Kota Bharu.

Katanya, serbuan yang dijalankan itu membawa kepada penahanan penagih berusia antara 17 hingga 55 tahun.

“Pelbagai jenis dadah dirampas iaitu 431 biji pil kuda; heroin (56 gram); daun ketum (1.5 kilogram); syabu (2.3 gram), Eramin 5 (58 biji); ganja (0.5 gram) dan pil psikotropik (10 biji).

“Lapan lokasi panas termasuk Kubang Kerian, Pengkalan Chepa, Kok Lanas, Binjai, Salor, Melor dan sekitar Kota Bharu,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kelantan di sini, hari ini.

Hasanuddin berkata, kesemua tangkapan membabitkan kesalahan mengikut Seksyen 39A(1) ADB 1952; Seksyen 12(2) ADB 1952; Seksyen 30(3) Akta Racun 1952 dan Seksyen 15(1)(a) ADB 1952.

Dalam perkembangan lain, Hasanuddin berkata, bermula Januari hingga 24 Julai tahun ini, sebanyak 8,638 kertas siasatan berkaitan dadah dibuka dengan 7,208 pertuduhan dibuat.

“Kami mengalu-alukan orang ramai supaya bekerjasama menyalurkan maklumat secara berterusan bagi menyelesaikan masalah dadah dan jenayah di negara kita,” katanya. – Berita Harian Online