SIMPANG PULAI: Komuniti Orang Asli dinasihati supaya meletakkan pendidikan anak-anak mereka sebagai perkara utama agar masa depan masyarakat itu berupaya mengubah nasib mereka.

Menteri Besar Perak, YAB Ahmad Faizal Azumu berkata ini kerana hanya kejayaan dalam bidang pendidikan sahaja yang mampu memajukan masyarakat Orang Asli di semua peringkat.

Beliau turut menyuarakan kekesalan terhadap segelintir keluarga dalam masyarakat tersebut yang sengaja memandang ringan soal pendidikan anak-anak mereka sendiri.

“Tadika ada disediakan di sini namun saya dengar ada yang tidak menghantar anak mereka ke tadika ini.

“Ada ibu bapa yang berkata mereka susah hati, bimbang sekiranya anak mereka ke sekolah anak akan bergaduh dengan kawan-kawan atau dibuli. Macam-macam alasan diberi. Kalau kita hidup dengan alasan, kita tidak akan berjaya.

“Saya minta maaf tetapi dalam soal ini saya harus berterus-terang,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perasmian Bangunan Chinta Bistari di Pusat Kecemerlangan Pendidikan Orang Asli Perak, dekat sini, pada Sabtu.

Turut hadir Pengerusi MHC Plantation, Tan Sri Dr Mah King Thiaan, Pengerusi Yayasan Orang Asli Perak (YOAP) Datuk Suki Mee, Pengerusi Majlis Penasihat YOAP Datuk Bah Piyan Tan serta Pengarah Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA) Perak Kedah, Hairulnizam Abd Rahman.

Pada masa sama, Ahmad Faizal turut mengingatkan agar masyarakat Orang Asli dapat menjaga khazanah tanah yang berada di sekeliling mereka dengan baik.

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri Chenderiang berkata terdapat segelintir di kalangan masyarakat Orang Asli yang bekerjasama dengan pemburu asing haram bagi memasang perangkap di hutan untuk menangkap hidupan-hidupan liar yang terancam demi wang bernilai ratusan ringgit.

“Pada masa sama, ada juga mereka yang bekerjasama dengan kerajaan, renjer dan agensi-agensi kita untuk mengutip pula perangkap itu.

“Kalau kita nak tanah, kena jaga tanah. Tapi jangan biarkan orang luar rosakkan bumi kita.

“Ada juga mereka yang bekerjasama dengan pembalak-pembalak haram,” tegasnya.

Sementara itu, Suki berkata masayarakat Orang Asli mengharapkan di bawah kepimpinan Ahmad Faizal, hak dan kebajikan masyarakat Orang Asli di negeri Perak akan lebih terjamin dan terpelihara.

Menurutnya, POAP mendapat sokongan dari Yayasan Sultan Azlan Shah yang menerajui program kecemerlangan pendidikan untuk para pelajar Orang Asli Perak dan MHC Plantation pula meneraju pembangunan infrastruktur di Pusat Kecemerlangan Pendidikan Orang Asli Perak.

“Pusat ini ditubuhkan sebagai Pusat Kecemerlangan Pendidikan Orang Asli yang bertujuan untukmenjadi sebuah pusat perkumpulan aktiviti pendidikan dan kepimpinan di kalangan Orang Asli.

“Antara program tanggungjawab korporat sosial yang pertama ialah pendidikan khas (tadika) bagi anak-anak masyarkat Orang Asli di sekitar Simpang Pulai yang masih berjalan sehingga kini,” ujarnya.