Oleh: Shafiq Noordin

KUALA KANGSAR: Masyarakat Orang Asli dari Kampung Kembok, Pos Piah, Sungai Siput khuatir projek pembalakan yang giat dilakukan di sekitar kampung mereka bakal memberi kesan buruk kepada penduduk dan alam sekitar.

Pengerusi Jaringan Kampung Orang Asli Piah, Najib Alang mendakwa, projek itu giat dijalankan di Kompartmen 253 dan 258, Hutan Simpan Piah yang merupakan kawasan tanah perkuburan komuniti mereka.

Beliau berkata, projek balak itu juga meliputi kawasan yang menjadi punca rezeki masyarakat Orang Asli di kampong tersebut.

“Kami khuatir projek pembalakan ini memberi kesan kepada sumber air kami, selain menyebabkan bencana seperti tanah runtuh, banjir lumpur dan mengakibatkan kemusnahan sumber alam sekitar.

“Ini sekaligus akan menjejaskan sumber rezeki kami Orang Asli yang bergantung hidup kepada hasil dari hutan,” katanya.

Najib berkata demikian pada sidang media selepas menyerahkan permohonan untuk mengadakan mesyuarat bersama pihak yang terlibat dalam projek pembalakan itu di Pejabat Perhutanan Daerah Kuala Kangsar di sini pada Isnin.

Sehubungan itu, beliau yang mewakili penduduk kampung Orang Asli berkenaan, merayu campur tangan kerajaan negeri untuk mengkaji semula pemberian permit kebenaran membalak di kawasan tersebut.

Kata beliau, pihaknya juga bersedia untuk mengadakan perbincangan khas dengan pihak-pihak berkepentingan mengenai projek yang terletak sekitar 500 meter daripada Kampung Kembok itu.

“Walaupun ada empat kampung lain yang bersetuju dengan projek itu namun kami hairan apabila tiada perbincangan dibuat bersama penduduk Kampung Kembok. Oleh itu, kami meminta agar mereka mengadakan perbincangan dengan kami juga,” ujarnya.

Tambah Najib, beliau berharap syarikat yang menjalankan projek pembalakan itu menghentikan kerja-kerja pembalakan sementara menunggu maklum balas daripada kerajaan negeri.

Dalam pada itu, Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Luar Bandar, Perladangan, Pertanian, Perumahan dan Kerajaan Tempatan negeri, Datuk Saarani Mohamad ketika dihubungi mengenai isu tersebut memberitahu, pihaknya akan memberi maklum balas dalam masa terdekat.