GERIK:Komuniti Orang Asli di sekitar penempatan Pos Kemar dekat Gerik yang berdepan dengan penularan jangkitan malaria menggesa Jabatan Kesihatan membuat pemantauan segera terhadap aktiviti dan tahap kesihatan pekerja asing di kawasan penempatan mereka.

Tinjauan Suara Perak mendapati kebanyakan penduduk mendakwa jangkitan wabak itu berpunca daripada kedatangan pekerja asing yang dikatakan pembawa virus di kawasan penempatan mereka sejak setahun lepas.

Angah a/l Aying, 49, berkata kumpulan pekerja asing mula muncul di kawasan penempatan mereka sejak setahun lalu dan ramai mereka tertumpu di Kampung Lemui dan Kampung Rantau.
“Dulu penyakit malaria pernah ada pada tahun 2009 tapi tidak teruk begini. Paling tidak pun sampai berbelas orang sahaja dijangkiti, tapi kali ini merebak sampai macam ini, sekarang dah lebih 100 orang jadi mangsa…kami semua memang risau.

“Kami semua tak tahu apa yang menyebabkan penyakit ini berjangkit sampai ramai yang sakit, terlalu ramai…saya pula memang tak dapat rehat dengan baik sejak wabak ini melanda lebih-lebih lagi terpaksa berulang-alik dari Pos Kemar ke Gerik untuk menjaga anak saya,”katanya Angah dari Kampung Rantau.

Katanya pekerja asing tersebut merupakan buruh binaan yang terlibat dengan projek membina bangunan dan sekolah yang dikendalikan

Angah, yang merupakan seorang penoreh getah berkata berkata tiga daripada tujuh anaknya telah dijangkiti malaria sejak dua minggu lepas dan sedang menjalani proses kuarantin bersama pesakit malaria lain di Asrama Seri Didik di Gerik.

“Saya tak kisah penat berulang-alik setiap dua hari dari Pos Kemar ke Gerik…yang penting saya nak anak saya segera sembuh,” katanya.

Beliau mengakui Jabatan Kesihatan sentiasa datang untuk memantau keadaan di perkampungan Pos Kemar seperti menyediakan kelambu, membasmi takungan air dan memberi nasihat langkah-langkah pencegahan.

“Kami ikut nasihat dan buat sepertimana yang diberitahu. Tapi kami bimbang kerana penyakit ini seperti tidak akan dapat dikawal sebab ramai yang masih dijangkiti. Apakah ini petanda penyakit ini datang disebabkan factor luar,” katanya.

Sementara itu, Khalid a/l Adim, 28 yang telah menjalani proses kuarantin sejak awal Disember berharap agar pihak Jabatan Kesihatan Negeri segera memantau dan memeriksa kesihatan pekerja asing yang tinggal di Pos Kemar.

Katanya, beliau menyedari kesemua pekerja asing itu tidak begitu memperdulikan tahap kebersihan baik di rumah kongsi mereka mahupun di lokasi pembinaan.

“Saya bukan nak menuduh, cuma saya minta bantuan pegawai kesihatan datang dan periksa kesemua pekerja asing di situ. Kami percaya penyakit ini bukan datang daripada kami. Lagi pun kami selalu diperiksa oleh Klinik Kesihatan Pos Kemar tetapi mereka (pekerja asing) siapa periksa mereka?

“Saya disahkan malaria sejak dua minggu lalu dan terlantar di sini… lemah dan kurang selera. Sekarang isteri terpaksa menjaga dua anak di rumah. Saya harap bila dah dah sembuh dan balik kampung nanti, keadaan akan bertambah baik,”katanya.

Khalid yang merupakan penduduk dari Kampung Bal berkata kebanyakan jirannya turut berasa bimbang dengan kehadiran orang luar yang tidak dikenali di persekitaran penempatan mereka tanpa kepastian mengenai tahap kesihatan mereka yang mungkin pembawa virus Malaria.

Kesemua 23 orang asli dari Pos Kemar yang dijangkiti Malaria ditemui ditemui di pusat penempatan sementara Asrama Seri Didik di Gerik di mana ianya terdiri daripada 12 kanak-kanak dan 11 dewasa.

Penempatan Pos Kemar yang terletak di kawasan pendalaman Taman Negeri Royal Belum mempunyai sembilan kampung iaitu Kampung Akei, Kampung Bal,Kampung Cuwau, Kampung Jarau Baru, Kampung Katong, Kampung Rantau, Kampung Senangit, Kampung Rantau dan Kampung Bandak.

Pada 21 November, Kementerian Kesihatan dilaporkan mengesahkan 41 Orang Asli di penempatan Pos Kemar telah disahkan positif malaria setelah ujian darah mendapati mereka dijangkiti malaria spesis Plasmodium vivax (P. vivax).

Sejak itu, jumlah pesakit malaria dari penempatan itu dilaporkan meningkat dan sehingga 14 Disember sebanyak 129 kes malaria dilaporkan dengan 23 dewasa dan selebihnya 14 orang kanak-kanak masih dikuarantin.