Oleh:Nazialita Geynna Maharan

SLIM RIVER: “Kami tahu, mereka selalu ada untuk kami.”

Itu merupakan ayat ringkas namun cukup meyakinkan yang diluahkan olehTok Batin Kg Pos Bersih, Sani a/l Yok Yan, 56.

Sani, ketika ditemui Suara Perak meluahkan rasa syukur ke atas kehadiran pemimpin yang tidak kekok malah sentiasa melawat perkampungan mereka yang terletak sekitar 45 minit dari jalan utama.

Beliau berkata, begitu banyak sumbangan malah bantuan yang diberikan oleh golongan pemimpin di sekitar Parlimen Tanjung Malim seperti ADUN Behrang, Datuk Rusnah Kasim dan ADUN Slim, Datuk Mohd Khusairi Abdul Talib.

“Rusnah, Khusairi kadang-kadang sampai bermalam di sini, atau di Pos Tenau di hujung, dalam dua jam perjalanan daripada Slim River, kami cukup kenal dan rapat dengan mereka.

“Malah, suku Semai di sekitar Pos Bersih seperti Kg Bangkong dan Kg Pos Bersih dah biasa mereka datang sini, tiap-tiap bulan ada program,” katanya.

Jelasnya, terdapat 700 penduduk yang terdiri daripada 135 keluarga berada di dalam perkampungan Orang Asli itu namun jumlah minoriti itu tidak pernah berasa tersisih jauh sekali diketepikan.

Sementara itu, Tok Batin Kg Bangkong juga dari Pos Bersih, Yok Pes a/l Chenadang berkata kehidupan masyarakat kampung di Ulu Slim itu turut berubah sejak penambahbaikan jalan menghubungi ke laluan utama.

Jelasnya, masih terdapat penaiktarafan yang boleh dilaksanakan di sekitar perkampungan mereka itu namun dia akan menyerahkan sepenuhnya kepada pemimpin setempat.

“Kami tahu, kami biasa bergaul bersama mereka. Harapan kami agar akan ada lagi pembangunan lain namun itu terpulang kepada kerajaan.

“Kami mengalu-alukan kedatangan semua dan satu sahaja kami cukup yakin, kami tahu dia ada dan dia akan datang untuk mendengar masalah kami,” ujarnya.