Oleh:Nazialita Geynna Maharan

TAPAH: Seorang warga emas kaum Orang Asli yang hilang sejak Sabtu lalu dipercayai tersesat dalam kawasan hutan berhampiran rumahnya di Batu 8, Jalan Pahang di sini masih gagal ditemukan.

Ketua Operasi Balai Bomba dan Penyelamat, Pegawai Bomba Kanan II Rosli Mohd berkata operasi mencari mangsa, Bah Shimi Bah Ranggang, 83 masih diteruskan dengan bantuan seramai 77 anggota terdiri daripada orang kampung dan pelbagai agensi.

Jelas beliau, usaha pencarian mangsa mengalami sedikit kesukaran berikutan kawasan tersebut merupakan hutan tebal dan keadaan cuaca yang sering hujan.

“Saya difahamkan oleh ahli keluargaini merupakan kali kedua mangsa hilang dari rumah dan ditemui selepas tiga hari kemudian, dipercayai berikutan factor usia beliau mungkin agak nyanyuk.

“Sehingga hari ini, pelbagai agensi termasuk PDRM, Bomba, Rela,Storm, unit pengesan anjing K9 PDRM, APM dan orang kampung seramai 77 orang masih meneruskan pencarian mangsa,” katanya ketika dihubungi Suara Perak pada petang Isnin.

Tambahnya, sehingga pukul 4 petang Isnin, operasi mencari dan menyelamat telah diperluaskan dalam jarak 3 kilometer daripada lokasi terakhir mangsa dipercayai hilang.

“Bagi mempercepatkan proses pencarian mangsa, kami telah membentuk dua pasukan mencari dan menyelamat.

Sebelum ini, Bah Shimi dipercayai hilang pada Sabtu lepas sekitar pukul 4 petang dan dimaklumkan oleh ahli keluarganya.