KEMERIAHAN sambutan Aidilfitri kakitangan Jabatan Bekalan Air di Selumit di Tanjung Manis, bersama keluarganya, terbantut apabila kediaman mereka diceroboh penjenayah, semalam.

Mangsa, Persi Saperi, 43, berkata, kejadian itu disedarinya ketika dia balik ke kuaters kediaman pekerja itu selepas mengunjungi rumah saudara masa sempena Aidilfitri, 6.45 petang.

Dia berkata, penjenayah dipercayai memasuki kediamannya melalui bahagian dapur selepas mengumpil tingkap.

“Setibanya di rumah, saya terkejut selepas mendapati rumah berselerak, manakala tingkap di bahagian dapur terbuka.

“Saya kemudiannya memeriksa seluruh rumah dan mendapati beberapa barangan termasuk televisyen dan tong gas hilang,” katanya.

Persi berkata, dia percaya kejadian itu berlaku antara 4 hingga 6 petang, kerana ketika itu mereka keluar berhari raya di rumah ahli keluarga.

“Saya percaya jenayah itu dilakukan lebih dari seorang penjenayah.

“Kejadian seperti ini sepatutnya tidak berlaku di kawasan kuaters kediaman pekerja dan saya berharap pihak berkaitan meningkatkan kawalan keselamatan untuk mencegah kegiatan jenayah daripada terus berlaku,” katanya.

Katanya lagi, walaupun jumlah kerugian yang dialaminya dianggarkan berjumlah RM1,200, dia kesal kerana sayangkan barangan yang dibeli hasil titik peluhnya itu

“Penjenayah senang senang sahaja mengambil harta yang kita kumpul dan saya tidak akan maafkan mereka yang mengambil harta benda kami itu,” katanya.

Persi berkata, dia membuat laporan kejadian itu di Balai Polis Tanjung Manis, petang semalam – hmetro