IPOH: Rakyat jelata berbilang kaum menziarahi Istana Ar-Ridhuan di sini bagi memberi penghormatan terakhir ke atas Almarhumah Raja Puan Besar Perak, Raja Nor Mahani Raja Shahar Shah seawal pukul 10.00 pagi Rabu.

Orang awam yang berpakaian serba hitam tanda berkabung dan berdukacita dengan pemergian baginda, diperuntukkan untuk penghormatan terakhir kepada Almarhumah dari pukul 10.30 pagi hingga 11.30 pagi.

image2Orang kenamaan dibenarkan menziarahi Almarhumah dari pukul 11.30 hingga 12.30 tengahari.
Mereka yang hadir mematuhi kod etika pemakaian dengan wanita Islam bertudung dan mamakai baju kurung serba hitam manakala bersongkok hitam lilitan putih serta berbaju Melayu bagi kaum lelaki.

Bagi pihak kenamaan, termasuk anak-anak raja, serta waris, mereka memakai busana serba putih bagi penghormatan itu.

Pemergian Almarhum Raja Nor Mahani yang juga Timbalan Yang Dipertua Persatuan Pandu Puteri Malaysia (PPPM) dirasai khususnya oleh mereka yang pernah memberi khidmat secara terus kepada organisasi berkenaan.

Antara yang hadir memberi penghormatan terakhir ialah Timbalan Ketua Pesuruhjaya PPPM, Puan Sri Toh Puan Zainun Zainuddin, Ketua Pesuruhjaya Pandu Puteri Negeri Perak, Tee Guey Hee, Timbalan Speaker DUN Perak, Datuk Nasaruddin Hashim dan barisan Ahli Dewan Undangan Negeri Perak.

Turut hadir memberikan penghormatan ialah Mufti Perak, Tan Sri Harussani Zakaria dan barisan exco kerajaan negeri Perak.