SUNGAI SIPUT: Masyarakat Sungai Siput disaran mengelak berada di lokasi hotspot terutama kawasan yang telah dikesan mempunyai jangkitan malaria.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lintang, Datuk Zolkafly Harun berkata kawasan tersebut perlu dijauhi sebagai langkah pencegahan bagi memastikan wabak malaria tidak menular ke kawasan lain.

Beliau menyuarakan nasihat tersebut berikutan bimbang dengan perkembangan terbaru di mana kes malaria telah dikesan penempatan Orang Asli Pos Poi di Sungai Siput.
Menurutnya kes malaria mula dikesan di Pos Poi sejak 9 Disember lepas.

Beliau turut meminta orang awam tidak melakukan sebarang aktiviti berhampiran perkampungan Orang Asli itu kerana bimbang dijangkiti wabak tersebut.

“Sebelum ini kes malaria telah dikesan di Pos Kemar dan kini di Pos Poi pula. Apa yang saya faham, kedua-dua kes itu tiada kaitan kerana ianya adalah jenis parasit berbeza.

‚ÄúTapi hakikatnya wabaknya masih sama iaitu malaria. Jadi saya minta penduduk di kawasan berhampiran kampung itu juga berjaga-jaga,mulakan dengan langkah pencegahan awal iaitu tidur di dalam kelambu, pastikan kebersihan kawasan rumah dan sebagainya,”katanya.

Katanya Pejabat Khidmat ADUN Sungai Siput akan sentiasa memantau keadaan di sekitar Pos Poi bagi memastikan wabak tersebut tidak merebak ke tempat lain pula.

Zolkafly berkata, beliau juga akan berhubung dengan Jabatan Kesihatan bagi membincangkan bentuk bantuan yang boleh diberi bagi membendung wabak itu.

“Mungkin kita akan minta Jabatan Kesihatan melakukan semburan asap dan kaedah lain sebagai usaha mengawal penyebaran wabak itu dan setakat ini, jumlah tersebut telah berkurangan daripada enam ke empat kes.

“Cuma nasihat saya penduduk yang mempunyai simptom demam dengan mengalami panas dan sejuk badan diharap terus ke hospital. Jangan tunggu hingga melarat baru mahu jumpa doktor,” ujarnya.

Penularan wabak malaria mula dikesan di pemempatan Orang Asli di Pos Kemar, Gerik pada 21 November dan sehingga kini jumlah pesakit yang dijangkiti meningkat.

Kebimbangan mengenai penularan wabak malaria menjadi perhatian apabila penempatan Orang Asli di Pos Poi Sungai Siput turut dikesan apabila enam Orang Asli disahkan positif malaria pada 6 Disember.

Dengan kes terbaru ini, jumlah keseluruhan pesakit malaria adalah 142 dengan 136 dari Pos Kemar, Gerik.