IPOH – Orang ramai diminta untuk menjadi mata dan telinga kepada Kementerian Kesihatan dalam membantu menguatkuasakan larangan merokok di semua restoran dan premis makanan bermula bulan depan.

Timbalan Menteri Kesihatan, Dr. Lee Boon Chye berkata, sebarang aduan berhubung ketidakpatuhan terhadap larangan tersebut boleh disalurkan terus kepada talian hotline Kementerian Kesihatan di nombor 03-88924530.

“Apa yang paling penting semasa penguatkuasaan peraturan ini dijalankan, ia bukan sahaja melibatkan pihak kementerian sahaja tetapi kerjasama orang ramai untuk sama-sama membantu kita.

“Malah, tujuan kerajaan memperluaskan kawasan larangan merokok ini bukan hanya untuk mengurangkan jumlah perokok tetapi bagi melindungi hak mereka yang tidak merokok agar tidak terdedah kepada asap rokok demi menjaga kesihatan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas menghadiri Majlis Makan Tengahari bersama Council for Perak Chinese Schools Committee di sini hari ini.

Kementerian Kesihatan sebelum ini mengumumkan semua restoran dan premis makanan terbuka akan diisytiharkan sebagai kawasan larangan merokok mulai 1 Januari tahun depan.

Langkah tersebut merupakan inisiatif kementerian bagi memperluaskan lagi kawasan larangan merokok di bawah Peraturan-Peraturan Kawalan Hasil Tembakau (Pindaan) 2017. – UTUSAN ONLINE